Imamat 10:8-14 BM

8 TUHAN berfirman kepada Harun,

9 “Janganlah engkau dan anak-anakmu masuk ke dalam Khemah TUHAN setelah minum wain ataupun minuman keras. Jika kamu masuk, kamu akan mati. Inilah peraturan yang mesti dipatuhi oleh semua keturunanmu.

10 Kamu mesti tahu membezakan apa yang dikhaskan untuk Allah dan apa yang tidak dikhaskan, dan apa yang tidak najis dengan apa yang najis.

11 Kamu mesti mengajar umat Israel semua hukum yang sudah Aku berikan kepada kamu melalui Musa.”

12 Kemudian Musa berkata kepada Harun dan kedua-dua orang anaknya yang masih hidup, Eleazar dan Itamar, “Ambillah lebihan korban untuk mengucap syukur daripada makanan yang dipersembahkan kepada TUHAN, dan buatlah roti tanpa ragi daripada tepung itu. Lalu makanlah roti itu di sisi mazbah kerana korban ini sangat suci.

13 Makanlah roti itu di tempat yang suci. Roti ini daripada makanan yang sudah dipersembahkan kepada TUHAN; roti ini menjadi bahagian kamu dan anak-anak lelaki kamu. Inilah yang diperintahkan oleh TUHAN kepadaku.

14 Tetapi kamu dan anak-anak kamu, lelaki dan perempuan boleh makan dada binatang yang sudah dipersembahkan sebagai persembahan istimewa serta paha binatang yang dipersembahkan sebagai pemberian istimewa, kerana semua itu adalah untuk para imam. Kamu boleh memakannya di mana sahaja tempat yang tidak najis. Persembahan ini adalah bahagian daripada korban untuk memohon berkat TUHAN, yang dipersembahkan oleh umat Israel. Persembahan itu telah diberikan kepada kamu dan anak-anak kamu sebagai milik kamu.