24-28 Seseorang yang menyentuh bangkai binatang yang berikut akan menjadi najis sehingga matahari terbenam: semua binatang yang berkuku, kecuali yang berkuku belah dan yang memamah biak, dan semua binatang yang berkaki empat dan yang mempunyai cakar. Sesiapa yang membawa bangkai binatang jenis ini mesti mencuci pakaiannya, tetapi dia tetap najis sehingga matahari terbenam.
29-30 Tikus mondok, tikus, cicak, biawak, dan semua jenis bengkarung mesti dianggap haram.
31 Seseorang yang menyentuh binatang itu atau bangkainya, akan menjadi najis sehingga matahari terbenam.
32 Jika bangkai binatang itu jatuh ke atas benda apa sahaja, benda itu pun menjadi najis; sama ada benda itu daripada kayu, kain, kulit, atau karung, tidak kira apa pun kegunaan benda-benda itu. Benda-benda itu harus dicelup ke dalam air, tetapi benda itu tetap najis sehingga matahari terbenam.
33 Jika bangkai itu jatuh ke dalam belanga, segala yang ada di dalamnya menjadi najis, dan belanga itu mesti dipecah.
34 Makanan apa sahaja yang biasanya boleh dimakan akan menjadi najis, jika kena air dari belanga itu, dan minuman yang di dalam belanga itu juga menjadi najis.
35 Apa sahaja yang dijatuhi bangkai itu menjadi najis. Jika benda itu ketuhar tanah atau dapur arang, benda itu harus dipecah.