27 Pada hari ketujuh, imam harus memeriksa orang itu lagi. Jika radang itu merebak, dia menghidap penyakit kulit yang mengerikan. Imam itu harus mengumumkan bahawa orang itu najis.
28 Tetapi jika radang itu tidak berubah dan tidak merebak, tetapi hanya kelihatan lebih muda warnanya, radang itu bukan penyakit kulit yang mengerikan. Imam harus mengumumkan bahawa orang itu tahir; radang itu hanya bekas luka bakar.
29 Apabila seorang lelaki atau perempuan mempunyai kudis pada kepala atau dagunya,
30 imam harus memeriksa dia. Jika kudis itu lebih dalam daripada kulit di sekelilingnya, dan rambut atau janggut pada kudis itu kekuning-kuningan dan sedikit, orang itu menghidap penyakit kulit yang mengerikan. Imam harus mengumumkan bahawa orang itu najis.
31 Jika imam yang memeriksanya mendapati kudis itu tidak lebih dalam daripada kulit di sekelilingnya, tetapi belum ada rambut atau janggut yang sihat di situ, imam itu harus mengasingkan dia selama tujuh hari.
32 Pada hari ketujuh, imam harus memeriksa dia lagi dan jika kudis itu tidak merebak dan tidak ada rambut atau janggut yang kekuning-kuningan di situ, dan kudis itu tidak lebih dalam daripada kulit di sekelilingnya,
33 orang itu harus mencukur rambut atau janggutnya, kecuali pada sekeliling kudis itu, dan imam itu harus mengasingkan dia selama tujuh hari lagi.