15 Kemudian imam akan mengambil sedikit daripada minyak zaitun dan menuangkan minyak itu pada telapak tangan kirinya,
16 lalu mencelupkan jari tangan kanannya di dalam minyak itu dan memercikkannya tujuh kali di dalam Khemah TUHAN.
17 Imam harus mengambil sedikit minyak yang di telapak tangannya itu dan sedikit daripada darah anak domba, lalu menyapukannya pada cuping telinga kanan, ibu jari tangan kanan, dan pada ibu jari kaki kanan orang yang akan dinyatakan tahir.
18 Kemudian imam harus melumurkan sisa minyak yang di telapak tangannya pada kepala orang itu. Dengan cara ini imam melakukan upacara penyucian.
19 Kemudian imam harus mempersembahkan korban untuk mengampunkan dosa dan melakukan upacara penyucian. Selepas itu dia harus menyembelih binatang bagi korban untuk menyenangkan hati TUHAN,
20 dan mempersembahkannya bersama-sama korban untuk mengucap syukur kepada TUHAN, di atas mazbah. Dengan cara ini, imam melakukan upacara penyucian, lalu orang itu tahir.
21 Jika orang itu miskin dan tidak mampu memberikan persembahan yang ditetapkan, bagi penyuciannya dia boleh mempersembahkan hanya seekor anak domba jantan bagi korban untuk membayar ganti rugi, iaitu korban istimewa bagi TUHAN. Biarlah orang itu membawa hanya satu kilogram tepung terbaik yang bercampur minyak zaitun, dan sepertiga liter minyak zaitun bagi korban untuk mengucap syukur kepada TUHAN.