5 Perintah ini bermaksud bahawa mulai masa itu, orang Israel harus membawa semua binatang yang hendak dipersembahkan ke Khemah TUHAN; dahulu binatang itu biasanya disembelih di padang. Orang Israel wajib membawa binatang itu kepada imam di hadapan pintu Khemah TUHAN, dan menyembelihnya di situ sebagai korban untuk memohon berkat TUHAN.
6 Imam harus menyiramkan darah binatang itu pada sisi-sisi mazbah di hadapan pintu Khemah, lalu membakar lemak binatang itu supaya baunya menyenangkan hati TUHAN.
7 Umat Israel mesti tetap setia kepada TUHAN, dan tidak boleh menyembelih binatang mereka di padang sebagai korban kepada syaitan-syaitan yang menyerupai kambing. Umat Israel harus mematuhi peraturan ini selama-lamanya.
8 Apabila seorang Israel atau seorang asing yang tinggal di kalangan orang Israel mempersembahkan korban untuk menyenangkan hati TUHAN, atau korban-korban lain
9 kepada TUHAN, dia harus mempersembahkannya di hadapan pintu Khemah TUHAN. Jika dia mempersembahkannya di tempat lain, dia tidak lagi dianggap sebagai anggota umat Allah.
10 Jika orang Israel ataupun orang asing yang tinggal di kalangan mereka makan darah, orang itu akan ditentang oleh TUHAN, dan dia tidak lagi dianggap sebagai anggota umat-Nya.
11 Nyawa tiap-tiap makhluk terkandung di dalam darahnya. Itulah sebabnya TUHAN memberikan perintah supaya semua darah dituangkan ke atas mazbah untuk menghapuskan dosa umat. Darah, iaitu nyawa, menghapuskan dosa.