9 Imam itu akan mengambil sebahagian roti itu, lalu membakarnya di atas mazbah sebagai tanda bahawa keseluruhannya sudah dipersembahkan kepada TUHAN. Bau persembahan makanan itu menyenangkan hati TUHAN.
10 Lebihan korban itu untuk para imam. Korban ini sangat suci kerana diambil daripada makanan yang sudah dipersembahkan kepada TUHAN.
11 Korban untuk mengucap syukur, yang dipersembahkan kepada TUHAN tidak boleh dicampuri ragi. Jangan sekali-kali campurkan ragi atau madu ke dalam makanan yang dipersembahkan kepada TUHAN.
12 Hasil tanaman yang mula-mula kamu tuai pada setiap tahun harus dipersembahkan kepada TUHAN, tetapi persembahan itu tidak boleh dibakar di atas mazbah.
13 Bubuhlah garam pada tiap-tiap korban untuk mengucap syukur kepada TUHAN, kerana garam melambangkan perjanjian antara kamu dengan Allah. Bubuhlah garam pada semua persembahan kamu.
14 Apabila hasil tanaman yang mula-mula kamu tuai dipersembahkan kepada TUHAN, persembahkanlah biji-bijian baru yang sudah dipanggang atau yang sudah dikisar halus.
15 Biji-bijian itu harus dituangi minyak zaitun dan dibubuhi kemenyan.