12 Pada hari kamu mempersembahkan barli itu, kamu juga harus mempersembahkan seekor domba jantan yang berumur satu tahun dan yang tidak ada kecacatan, sebagai korban untuk menyenangkan hati TUHAN.
13 Bersama dengan korban itu, kamu harus mempersembahkan dua kilogram tepung terbaik yang bercampur minyak zaitun sebagai persembahan makanan. Bau korban itu menyenangkan hati TUHAN. Bersama dengan korban itu, persembahkan juga satu liter wain.
14 Jangan makan barli baru kamu itu, sama ada yang mentah, yang dipanggang, ataupun yang dijadikan roti, sebelum kamu mempersembahkan barli baru itu kepada Allah. Peraturan ini harus dipatuhi oleh semua keturunan kamu selama-lamanya.
15 Mulai hari selepas Sabat, ketika kamu mempersembahkan berkas barli yang pertama kepada TUHAN, kamu harus menghitung tujuh minggu penuh.
16 Pada hari kelima puluh, iaitu hari selepas Sabat yang ketujuh, persembahkanlah gandum baru sebagai korban untuk mengucap syukur kepada TUHAN.
17 Tiap-tiap keluarga harus membawa dua buku roti, sebagai persembahan istimewa kepada TUHAN. Tiap-tiap buku roti harus dibuat daripada dua kilogram tepung terbaik yang bercampur ragi. Roti ini harus dipersembahkan kepada TUHAN sebagai korban daripada tuaian gandum yang pertama.
18 Bersama dengan roti itu, umat Israel harus mempersembahkan tujuh ekor anak domba yang berumur satu tahun, seekor lembu jantan, dan dua ekor kambing jantan. Semua binatang itu tidak boleh ada kecacatan. Persembahkanlah semua itu kepada TUHAN sebagai korban untuk menyenangkan hati TUHAN, bersama dengan korban untuk mengucap syukur dan korban wain. Bau persembahan itu menyenangkan hati TUHAN.