18 Bersama dengan roti itu, umat Israel harus mempersembahkan tujuh ekor anak domba yang berumur satu tahun, seekor lembu jantan, dan dua ekor kambing jantan. Semua binatang itu tidak boleh ada kecacatan. Persembahkanlah semua itu kepada TUHAN sebagai korban untuk menyenangkan hati TUHAN, bersama dengan korban untuk mengucap syukur dan korban wain. Bau persembahan itu menyenangkan hati TUHAN.
19 Selain itu persembahkanlah seekor kambing jantan sebagai korban untuk mengampunkan dosa, dan dua ekor anak domba jantan yang berumur satu tahun sebagai korban untuk memohon berkat TUHAN.
20 Kemudian imam akan mempersembahkan roti dan dua ekor anak domba itu sebagai persembahan istimewa kepada TUHAN, dan persembahan ini menjadi milik para imam. Persembahan-persembahan ini suci.
21 Pada hari itu jangan lakukan pekerjaan harian, tetapi berkumpullah untuk beribadat. Keturunan kamu mesti patuh kepada peraturan ini selama-lamanya, di mana sahaja mereka tinggal.
22 Apabila kamu menuai gandum di ladang, jangan tuai gandum yang tumbuh di tepi ladang, dan jangan kembali ke ladang untuk menuai gandum yang tertinggal. Tinggalkan semua itu untuk orang miskin dan orang asing. TUHAN ialah Allah kamu.
23-24 Hari pertama bulan ketujuh harus dirayakan sebagai hari yang khas untuk berehat. Apabila trompet ditiup pada hari itu, kamu harus berkumpul untuk beribadat.
25 Persembahkanlah persembahan makanan kepada TUHAN, dan jangan lakukan pekerjaan harian pada hari itu.