10 Kemudian imam itu harus mempersembahkan burung yang seekor lagi sebagai korban untuk menyenangkan hati TUHAN, menurut peraturan. Dengan demikian imam mempersembahkan korban untuk mengampunkan dosa orang itu, supaya orang itu akan diampuni oleh TUHAN.
11 Jika orang yang bersalah itu tidak mampu memberikan dua ekor burung tekukur atau dua ekor burung merpati, dia harus mempersembahkan satu kilogram tepung sebagai korban untuk mengampunkan dosa. Tepung itu tidak boleh dicampuri minyak zaitun ataupun kemenyan kerana korban itu adalah korban untuk mengampunkan dosa dan bukan korban untuk mengucap syukur.
12 Orang itu harus membawa tepung itu kepada imam. Kemudian imam itu mengambil segenggam tepung itu lalu membakarnya di atas mazbah sebagai persembahan makanan; inilah tandanya bahawa keseluruhan tepung itu sudah dipersembahkan kepada TUHAN. Persembahan itu adalah korban untuk mengampunkan dosa.
13 Dengan demikian imam itu mempersembahkan korban untuk mengampunkan dosa orang itu, lalu orang itu akan diampuni oleh TUHAN. Tepung yang selebihnya itu adalah bagi imam, seperti dengan korban untuk mengucap syukur kepada TUHAN.
14 TUHAN memberikan peraturan ini kepada Musa.
15 Jika seseorang dengan tidak sengaja berdosa kerana gagal memberikan persembahan yang diwajibkan untuk TUHAN, orang itu harus membawa korban untuk membayar ganti rugi, kepada TUHAN. Korban itu mestilah seekor domba jantan atau seekor kambing jantan yang tidak ada kecacatan. Harganya harus dinilai menurut harga yang ditetapkan di Khemah TUHAN.
16 Orang itu harus membayar apa yang dahulu dilalaikannya, ditambah pula dengan dua puluh peratus. Dia harus menyerahkan binatang itu kepada imam. Kemudian imam mempersembahkan binatang itu sebagai korban untuk mengampunkan dosa orang itu, lalu orang itu akan diampuni oleh TUHAN.