3 Jika seseorang dengan tidak sengaja menyentuh apa sahaja yang najis daripada manusia, dia bersalah sebaik sahaja dia sedar akan perbuatannya itu.
4 Jika seseorang bersumpah dengan sembarangan untuk melakukan apa sahaja, dia bersalah sebaik sahaja dia sedar akan perbuatannya itu.
5 Apabila seseorang bersalah, dia harus mengakui dosanya.
6 Sebagai hukuman dosanya itu, orang itu mesti mempersembahkan seekor domba betina atau seekor kambing betina kepada TUHAN. Imam harus mempersembahkan korban untuk mengampunkan dosa orang itu.
7 Jika orang yang bersalah itu tidak mampu memberikan seekor domba atau seekor kambing untuk menebus dosanya, dia harus mempersembahkan dua ekor burung tekukur atau dua ekor burung merpati kepada TUHAN: seekor bagi korban untuk mengampunkan dosa, dan seekor lagi bagi korban untuk menyenangkan hati TUHAN.
8 Dia harus memberikan burung-burung itu kepada imam. Mula-mula imam itu harus mempersembahkan burung yang ditentukan bagi korban untuk mengampunkan dosa. Imam itu harus mematahkan leher burung itu, tetapi jangan sampai kepala burung itu terputus.
9 Kemudian sebahagian darah burung itu harus dipercikkan pada sisi mazbah. Darah selebihnya harus dituang di bahagian bawah mazbah. Korban ini adalah korban untuk mengampunkan dosa.