Imamat 6:15-22 BM

15 Imam itu harus mengambil segenggam tepung bersama dengan minyak, serta semua kemenyannya, lalu membakar semuanya di atas mazbah sebagai tanda bahawa seluruhnya sudah dipersembahkan kepada TUHAN. Bau korban itu menyenangkan hati TUHAN.

16-17 Tepung yang selebihnya harus dijadikan roti tidak beragi dan dimakan oleh imam di tempat yang khas, iaitu di halaman Khemah TUHAN. TUHAN sudah memberikan roti itu kepada para imam sebagai bahagian mereka daripada persembahan makanan. Korban ini sangat suci, seperti korban untuk mengampunkan dosa dan korban untuk membayar ganti rugi.

18 Untuk sepanjang masa, setiap orang lelaki keturunan Harun boleh memakannya sebagai bahagian mereka daripada makanan yang dipersembahkan kepada TUHAN. Orang lain yang menyentuh persembahan makanan akan ditimpa celaka kerana kekuatan kesuciannya.

19 TUHAN memberikan peraturan ini kepada Musa

20 bagi pentahbisan imam keturunan Harun. Pada hari seorang imam ditahbiskan, dia harus mempersembahkan satu kilogram tepung yang terbaik (sama banyaknya dengan korban untuk mengucap syukur, yang dipersembahkan setiap hari) kepada TUHAN, separuh pada waktu pagi dan separuh pada waktu petang.

21 Tepung itu harus dicampuri minyak dan dimasak di atas pemanggang, kemudian dibelah-belah dan dipersembahkan sebagai korban untuk mengucap syukur kepada TUHAN. Bau korban itu menyenangkan hati TUHAN.

22 Untuk sepanjang masa, korban ini harus dipersembahkan oleh tiap-tiap keturunan Harun yang menjadi Imam Agung. Korban ini mesti dibakar seluruhnya sebagai persembahan kepada TUHAN.