Imamat 8:20-21-27 BM

20-21 Dia memotong domba jantan itu, mencuci isi perut dan paha domba itu dengan air. Kemudian dia membakar kepala, lemak, dan sisa domba jantan itu di atas mazbah, sebagaimana yang diperintahkan oleh TUHAN. Korban untuk menyenangkan hati TUHAN ini adalah persembahan makanan, dan baunya menyenangkan hati TUHAN.

22 Setelah itu Musa membawa domba jantan yang seekor lagi untuk pentahbisan imam, lalu Harun dan anak-anaknya meletakkan tangan mereka di atas kepala domba jantan itu.

23 Musa menyembelih domba jantan itu. Kemudian dia mengambil sedikit darah domba itu dan menyapukannya pada cuping kanan telinga Harun, dan pada ibu jari tangan kanannya, dan juga pada ibu jari kaki kanannya.

24 Kemudian Musa membawa anak-anak Harun ke hadapan. Lalu Musa menyapukan sedikit darah domba itu pada cuping kanan telinga mereka, pada ibu jari tangan kanan mereka, dan juga pada ibu jari kaki kanan mereka. Kemudian Musa menyiramkan darah yang selebihnya pada keempat-empat sisi mazbah.

25 Musa mengambil lemak domba itu, dan juga ekornya yang berlemak, lemak yang membungkus isi perutnya, bahagian terbaik daripada hatinya, buah pinggang serta lemaknya, dan paha kanan domba itu.

26 Selepas itu, Musa mengambil seketul roti dari sebakul roti yang tidak beragi, yang sudah ditahbiskan untuk TUHAN, dan juga seketul roti tebal yang dibuat dengan minyak, serta sekeping roti nipis, lalu meletakkan semuanya di atas lemak dan paha kanan domba jantan itu.

27 Dia meletakkan semua makanan itu di tangan Harun dan anak-anaknya, lalu mereka mempersembahkan semuanya sebagai persembahan istimewa bagi TUHAN.