1 Pada hari kelapan, Musa memanggil Harun dan anak-anaknya serta para pemimpin Israel.
2 Musa berkata kepada Harun, “Ambillah seekor lembu jantan yang muda dan seekor domba jantan, dan kedua-duanya tidak boleh ada cacat, lalu persembahkanlah kedua-duanya sebagai korban kepada TUHAN. Lembu jantan itu bagi korban untuk mengampunkan dosa, dan domba jantan itu bagi korban untuk menyenangkan hati TUHAN.
3 Kemudian suruhlah umat Israel mempersembahkan seekor kambing jantan bagi korban mengampunkan dosa, seekor anak lembu dan seekor anak domba yang kedua-duanya berumur satu tahun dan tidak ada cacat, bagi korban untuk menyenangkan hati TUHAN.
4 Persembahkanlah juga seekor lembu jantan dan seekor domba jantan bagi korban untuk memohon berkat TUHAN. Mereka harus mempersembahkan kedua-dua binatang itu kepada TUHAN bersama-sama korban untuk mengucap syukur, iaitu korban yang dicampuri minyak. Mereka mesti melakukan semuanya kerana pada hari ini TUHAN akan menampakkan diri kepada mereka.”
5 Mereka membawa semua yang sudah diperintahkan oleh Musa ke hadapan Khemah TUHAN, dan segenap umat itu berkumpul di situ untuk menyembah TUHAN.
6 Musa berkata, “TUHAN memerintah kamu untuk melakukan semua itu supaya kamu boleh nampak cahaya hadirat TUHAN.”