10 Kemudian dia membakar lemak lembu jantan itu, buah pinggang, dan bahagian terbaik daripada hati lembu itu di atas mazbah, sebagaimana yang diperintahkan oleh TUHAN melalui Musa.
11 Tetapi Harun membakar daging lembu jantan itu dan kulitnya di luar perkhemahan.
12 Selepas itu Harun menyembelih binatang bagi korban untuk menyenangkan hati TUHAN, bagi dirinya sendiri. Anak-anaknya membawa darah binatang itu, lalu dia menyiramkannya pada keempat-empat sisi mazbah.
13 Anak-anak Harun memberikan kepala dan bahagian lain binatang itu kepada Harun, lalu Harun membakarnya di atas mazbah.
14 Kemudian dia mencuci isi perut dan paha binatang itu, lalu membakarnya di mazbah, di atas segala korban lain, iaitu korban untuk menyenangkan hati TUHAN.
15 Kemudian Harun mempersembahkan korban untuk mengampunkan dosa bagi umat Israel. Dia mengambil kambing yang akan dipersembahkan, menyembelihnya, lalu mempersembahkan kambing itu sebagaimana yang sudah dilakukannya pada korban untuk mengampunkan dosa bagi dirinya sendiri.
16 Dia juga membawa binatang bagi korban untuk menyenangkan hati TUHAN, lalu mempersembahkannya menurut peraturan.