14 Kemudian dia mencuci isi perut dan paha binatang itu, lalu membakarnya di mazbah, di atas segala korban lain, iaitu korban untuk menyenangkan hati TUHAN.
15 Kemudian Harun mempersembahkan korban untuk mengampunkan dosa bagi umat Israel. Dia mengambil kambing yang akan dipersembahkan, menyembelihnya, lalu mempersembahkan kambing itu sebagaimana yang sudah dilakukannya pada korban untuk mengampunkan dosa bagi dirinya sendiri.
16 Dia juga membawa binatang bagi korban untuk menyenangkan hati TUHAN, lalu mempersembahkannya menurut peraturan.
17 Dia mempersembahkan korban untuk mengucap syukur, lalu mengambil segenggam tepung dan membakarnya di atas mazbah. Korban ini adalah tambahan kepada korban untuk menyenangkan hati TUHAN, yang dipersembahkan setiap hari.
18 Harun menyembelih seekor lembu jantan dan seekor domba jantan sebagai korban untuk memohon berkat TUHAN bagi umat Israel. Anak-anak Harun membawa darah binatang itu kepada Harun, lalu dia menyiramkannya pada keempat-empat sisi mazbah.
19 Harun meletakkan bahagian yang berlemak daripada lembu dan domba itu
20 di atas dada kedua-dua binatang itu, lalu membawa semuanya ke mazbah. Harun membakar lemak itu di atas mazbah.