7 Musa berkata kepada Harun, “Pergilah ke mazbah lalu persembahkanlah korban untuk mengampunkan dosa dan korban untuk menyenangkan hati TUHAN, supaya dosamu dan dosa semua orang ini diampunkan oleh TUHAN. Lakukanlah hal ini seperti yang diperintahkan oleh TUHAN.”
8 Kemudian Harun pergi ke mazbah itu lalu menyembelih lembu jantan muda yang dikhaskan bagi korban untuk mengampunkan dosa bagi dirinya sendiri.
9 Anak-anak Harun membawa darah lembu itu kepada Harun, dan dia mencelupkan jarinya ke dalam darah itu, lalu menyapukan darah itu pada unjuran di sudut-sudut mazbah itu. Dia menyiramkan darah selebihnya di bahagian bawah mazbah.
10 Kemudian dia membakar lemak lembu jantan itu, buah pinggang, dan bahagian terbaik daripada hati lembu itu di atas mazbah, sebagaimana yang diperintahkan oleh TUHAN melalui Musa.
11 Tetapi Harun membakar daging lembu jantan itu dan kulitnya di luar perkhemahan.
12 Selepas itu Harun menyembelih binatang bagi korban untuk menyenangkan hati TUHAN, bagi dirinya sendiri. Anak-anaknya membawa darah binatang itu, lalu dia menyiramkannya pada keempat-empat sisi mazbah.
13 Anak-anak Harun memberikan kepala dan bahagian lain binatang itu kepada Harun, lalu Harun membakarnya di atas mazbah.