11 Beta telah memusnahkan Samaria dengan segala berhalanya. Sekarang beta akan berbuat demikian juga terhadap Yerusalem dan patung-patung yang disembah di situ.”
12 Tetapi Tuhan berfirman, “Setelah selesai apa yang hendak Aku lakukan di Bukit Sion dan di Yerusalem, Aku akan menghukum raja Asyur kerana cakap besarnya dan kesombongannya.”
13 Raja Asyur bercakap besar, “Beta telah melakukan segalanya itu dengan kekuatan beta sendiri. Beta bijak dan pandai. Beta menghapuskan sempadan antara negeri dan merampas bekalan mereka. Seperti seekor lembu jantan, beta telah memijak-mijak bangsa yang tinggal di situ.
14 Bangsa-bangsa di dunia ini seperti sarang burung; beta merampas harta mereka semudah beta mengumpulkan telur. Tidak seekor burung pun yang menggerakkan sayap untuk menakutkan beta atau membuka paruh untuk menciap!”
15 Tetapi TUHAN berfirman, “Dapatkah sebilah kapak memegahkan diri terhadap orang yang menggunakannya? Adakah sebilah gergaji lebih penting daripada orang yang menggunakan gergaji itu? Bukan belantan yang mengangkat orang, sebaliknya orang yang mengangkat belantan.”
16 TUHAN Yang Maha Kuasa akan mendatangkan penyakit untuk menghukum panglima-panglima yang tegap. Mereka akan menghidap penyakit demam seperti api membakar terus-menerus.
17 Allah, cahaya Israel, akan menjadi api. Allah Israel, Allah yang suci, akan menjadi nyala api, yang dalam sehari akan menghanguskan segala-galanya, bahkan duri dan lalang.