Yesaya 32 BM

Raja yang Adil

1 Pada suatu hari kelak seorang raja akan memerintah dengan adil, dan pemimpin-pemimpin bangsa akan menjalankan keadilan.

2 Mereka seperti tempat perlindungan daripada angin dan ribut. Mereka seperti sungai-sungai yang mengalir di padang gurun, seperti naungan batu besar di tanah yang tandus.

3 Mata dan telinga mereka akan sentiasa terbuka untuk memperhatikan keperluan rakyat.

4 Mereka yang dahulu terburu-buru akan bertindak dengan sabar dan penuh pengertian. Mereka yang gagap akan bertutur dengan jelas.

5 Orang bodoh tidak akan dianggap terhormat, dan penipu tidak dikatakan jujur.

6 Orang bodoh mengucapkan kata-kata yang bodoh dan merancangkan perkara yang jahat. Perbuatan dan perkataan mereka menghinakan TUHAN. Mereka tidak pernah memberikan makanan kepada orang lapar atau memberikan minuman kepada orang dahaga.

7 Penipu memikirkan dan melakukan yang jahat. Mereka mencari akal untuk menipu orang miskin dengan kata-kata dusta, dan mencegah orang miskin mendapat hak mereka.

8 Tetapi orang yang luhur merancangkan hal-hal yang luhur, dan bertindak dengan luhur.

Pengadilan dan Pemulihan

9 Dengarlah, hai kaum wanita yang hidup senang, bebas daripada kekhuatiran.

10 Kamu berasa puas hati sekarang, tetapi setahun lagi kamu akan putus asa, kerana buah anggur akan habis musnah.

11 Kamu telah hidup senang, bebas daripada kekhuatiran, tetapi sekarang gementarlah ketakutan! Tanggalkanlah pakaian kamu dan ikatlah kain guni pada pinggang kamu.

12 Tebahlah dada dengan sedih, kerana ladang yang subur dan ladang anggur kamu telah musnah.

13 Sekarang semak dan belukar berduri tumbuh di tanah bangsaku. Tangisilah rumah-rumah tempat orang bersukaria, dan kota yang penuh kesibukan.

14 Bahkan istana pun akan ditinggalkan dan ibu kota menjadi lengang. Bukit-bukit dan menara-menara pengawal akan runtuh selama-lamanya. Keldai liar dan domba akan berkeliaran dan merumput di sana.

15 Tetapi sekali lagi Allah akan datang dengan kuasa-Nya. Maka tanah yang tandus akan menjadi subur, dan ladang akan mengeluarkan hasil yang banyak.

16 Di serata negeri akan terdapat kejujuran dan keadilan.

17 Negeri itu akan menjadi aman dan tenteram selama-lamanya kerana tiap-tiap orang melakukan apa yang benar.

18 Umat Allah tidak perlu khuatir lagi, dan rumah mereka akan menjadi aman dan selamat,

19 walaupun hutan akan ditimpa hujan batu dan kota akan runtuh sama sekali.

20 Alangkah bahagianya semua orang kerana air untuk tanaman akan berkelimpahan, dan padang rumput menjadi tempat yang aman bagi keldai dan lembu.