Yesaya 7 BM

Perkhabaran untuk Raja Ahas

1 Raja Ahas ialah putera Raja Yotam dan cucu Raja Uzia. Pada masa Raja Ahas memerintah Yehuda, peperangan berlaku. Raja Rezin, raja negeri Siria, dan Raja Pekah anak Remalya, iaitu raja Israel, menyerang Yerusalem tetapi mereka tidak berjaya menawan kota itu.

2 Apabila raja Yehuda mendengar bahawa tentera Siria telah berada di kawasan Israel, raja dan rakyatnya sangat ketakutan sehingga mereka gementar seperti pokok digoyangkan angin.

3 TUHAN berfirman kepada Yesaya, “Bawalah anakmu, Syear Yasyub dan pergilah menghadap Raja Ahas. Engkau akan menemuinya di jalan tempat pembuat kain bekerja, di hujung parit yang menyalurkan air dari kolam yang di sebelah atas.

4 Suruhlah dia berwaspada dan tenang. Dia tidak usah takut ataupun gelisah. Kemurkaan Raja Rezin dan orang Siria serta Raja Pekah tidak lebih berbahaya daripada asap dua puntung kayu api.

5 Siria telah berkomplot dengan Israel dan rajanya.

6 Mereka hendak menyerang Yehuda dan menakut-nakutkan penduduknya supaya berpihak kepada mereka, lalu melantik anak lelaki Tabeel menjadi raja.

7 Tetapi Aku, TUHAN, berfirman bahawa perkara ini sekali-kali tidak akan berlaku,

8 kerana Siria tidak lebih kuat daripada Damsyik, ibu kotanya, dan Damsyik pun tidak lebih kuat daripada Raja Rezin. Sedangkan dalam masa enam puluh lima tahun, Israel akan berpecah belah sehingga tidak dapat bertahan sebagai satu bangsa.

9 Israel tidak lebih kuat daripada Samaria, ibu kotanya, dan Samaria pun tidak lebih kuat daripada Raja Pekah.Jika kamu tidak sungguh-sungguh percaya kepada-Ku, pasti kamu akan jatuh.”

Tanda Imanuel

10 TUHAN menyampaikan satu lagi perkhabaran kepada Raja Ahas.

11 “Mintalah supaya TUHAN, Allahmu memberikan satu tanda kepadamu, sama ada dari dunia orang mati di bawah, atau dari langit di atas.”

12 Raja Ahas menjawab, “Beta tidak mahu meminta tanda. Beta tidak mahu menguji TUHAN.”

13 Lalu Yesaya berkata, “Dengarlah baik-baik, hai keturunan Raja Daud. TIdak cukupkah tuanku menguji kesabaran manusia? Mestikah tuanku menguji kesabaran Allah hamba juga?

14 Baiklah, Tuhan sendiri akan memberikan tanda kepada tuanku: seorang gadis yang mengandung akan melahirkan seorang anak lelaki yang dinamakannya ‘Imanuel.’

15 Apabila anak itu cukup dewasa untuk membuat keputusannya sendiri, negeri itu akan makmur.

16 Bahkan sebelum masa itu tiba, negeri kedua-dua orang raja yang tuanku takuti akan ditinggalkan kosong.

17 TUHAN akan mendatangkan raja Asyur, lalu tuanku dan semua keluarga tuanku serta rakyat akan mengalami bencana yang lebih dahsyat daripada apa yang pernah berlaku sejak Israel terpisah dari Yehuda.

18 Pada masa itu TUHAN akan bersiul sebagai tanda untuk memanggil tentera Mesir yang datang seperti kawanan lalat dari hujung Sungai Nil, dan tentera Asyur yang datang seperti kawanan lebah dari negeri mereka.

19 Mereka akan mengerumuni lembah-lembah yang curam, celah-celah bukit batu, dan tiap-tiap belukar duri serta padang rumput.

20 Pada masa itu Tuhan akan mengupah seorang pencukur, iaitu raja Asyur dari seberang Sungai Efrat. Raja itu akan mencukur janggut dan rambut pada kepala orang Israel, serta bulu pada tubuh mereka.

21 Pada masa itu walaupun seorang penternak hanya dapat menyelamatkan seekor anak lembu dan dua ekor kambing,

22 binatang-binatang itu akan memberikan susu yang lebih daripada cukup untuk keperluan penternak itu. Sesungguhnya, beberapa orang yang tersisa di negeri itu akan minum susu dan makan madu.

23 Pada masa itu ladang anggur yang baik, yang ditanami seribu pokok dan berharga seribu wang perak, semuanya akan ditumbuhi semak dan belukar berduri.

24 Di situ orang akan memburu binatang dengan busur dan panah. Seluruh negeri itu akan penuh dengan semak dan belukar berduri.

25 Bukit-bukit yang dahulunya diusahakan akan ditumbuhi duri sehingga tiada sesiapa pun yang mahu ke situ. Tanah itu akan menjadi tempat merumput bagi lembu dan domba.”