1 Inilah perkhabaran TUHAN tentang Lembah Penglihatan.Hai penduduk Yerusalem, mengapa kamu semua mengadakan perayaan di bumbung rumah?
2 Tidak patut seluruh kota berpesta dan bersorak gembira.Orang kamu yang mati dalam perang ini bukan mati kerana bertempur.
3 Semua pemimpin kamu lari dan ditawan sebelum mereka sempat membidikkan sebatang anak panah pun.
4 Tinggalkanlah aku seorang diri untuk meratapi semua orangku yang telah mati. Jangan cuba menghibur aku.
5 Inilah masa kecemasan, kekalahan, dan kekacauan di Lembah Penglihatan. TUHAN Raja Yang Maha Kuasa telah mendatangkan malapetaka itu. Tembok-tembok kota kita sudah roboh, dan tangisan orang minta tolong bergema di bukit-bukit.
6 Orang Siria datang dengan kuda dan kereta kuda, orang Elam bersenjatakan busur dan panah, dan orang Kir menyiapkan perisai mereka.
7 Lembah-lembah Yehuda yang subur itu penuh dengan kereta kuda, dan pasukan berkuda siap di depan pintu-pintu gerbang Yerusalem.
8 Seluruh pertahanan Yehuda runtuh.Pada waktu itu kamu mengeluarkan senjata dari gedung senjata.
9-10 Kamu mendapati retak-retak di tembok kota Yerusalem yang perlu diperbaiki. Kamu memeriksa semua rumah di Yerusalem dan merobohkan sesetengahnya supaya kamu mendapat batu untuk memperbaiki tembok kota. Untuk menyimpan air,
11 kamu membina kolam air di dalam kota bagi menampung air yang mengalir dari kolam yang lama. Tetapi kamu tidak memperhatikan Allah yang sejak dahulu telah merancangkan segala perkara itu dan yang menyebabkan semuanya berlaku.
12 Pada waktu itu TUHAN Raja Yang Maha Kuasa menyuruh kamu menangis dan meratap, mencukur rambut dan memakai kain guni.
13 Tetapi sebaliknya kamu bergembira dan berpesta. Kamu menyembelih domba dan lembu, makan daging, dan minum wain, sambil berkata, “Marilah kita makan dan minum, kerana esok kita akan mati.”
14 TUHAN Raja Yang Maha Kuasa berfirman kepadaku, “Kejahatan mereka itu tidak sekali-kali akan diampunkan seumur hidup mereka. Aku, TUHAN Raja Yang Maha Kuasa telah berfirman.”
15 TUHAN Raja Yang Maha Kuasa menyuruh aku pergi kepada Sebna, pengurus istana, dan berkata kepadanya,
16 “Pada sangkamu engkau ini siapa? Apa hakmu sehingga engkau memahat lubang kuburmu sendiri di bukit batu?
17 Mungkin engkau seorang pembesar, tetapi TUHAN akan mencekam dan membuang engkau.
18 Dia akan menggulung-gulung engkau lalu melontarkan engkau seperti bola ke sebuah negeri yang besar. Engkau akan mati di sana, di samping kereta kuda yang engkau bangga-banggakan itu. Engkau telah memalukan keluarga tuanmu.
19 TUHAN akan memecat engkau daripada jawatanmu dan menurunkan engkau daripada kedudukan yang tinggi.”
20 TUHAN berfirman kepada Sebna, “Pada waktu itu, Aku akan memanggil hamba-Ku, Elyakim anak Hilkia.
21 Aku akan mengenakan pakaian kebesaran dan ikat pinggangmu padanya, dan memberikan segala kuasamu kepadanya. Dia akan menjadi seperti bapa kepada penduduk Yerusalem dan Yehuda.
22 Aku akan memberikan kuasa penuh kepadanya di bawah raja keturunan Raja Daud. Dia akan memegang kunci kerajaan. Apa-apa yang dibukanya, tidak dapat ditutup oleh sesiapa pun; dan apa-apa yang ditutupnya, tidak dapat dibuka oleh sesiapa pun.
23 Aku akan mengukuhkan kedudukannya seperti pasak penyangkut yang dipasang kuat. Seluruh keluarganya akan dihormati kerana dia.
24 Tetapi semua anggota keluarga dan tanggungannya akan menjadi beban baginya. Mereka akan bergantung kepadanya seperti periuk belanga bergantung pada sebuah pasak penyangkut.
25 Pada waktu itu pasak penyangkut yang telah dipasang kuat-kuat itu akan terlepas dan jatuh. Maka itulah kesudahan segala sesuatu yang bergantung kepadanya.” TUHAN telah berfirman.