13 Raja Asyur bercakap besar, “Beta telah melakukan segalanya itu dengan kekuatan beta sendiri. Beta bijak dan pandai. Beta menghapuskan sempadan antara negeri dan merampas bekalan mereka. Seperti seekor lembu jantan, beta telah memijak-mijak bangsa yang tinggal di situ.
14 Bangsa-bangsa di dunia ini seperti sarang burung; beta merampas harta mereka semudah beta mengumpulkan telur. Tidak seekor burung pun yang menggerakkan sayap untuk menakutkan beta atau membuka paruh untuk menciap!”
15 Tetapi TUHAN berfirman, “Dapatkah sebilah kapak memegahkan diri terhadap orang yang menggunakannya? Adakah sebilah gergaji lebih penting daripada orang yang menggunakan gergaji itu? Bukan belantan yang mengangkat orang, sebaliknya orang yang mengangkat belantan.”
16 TUHAN Yang Maha Kuasa akan mendatangkan penyakit untuk menghukum panglima-panglima yang tegap. Mereka akan menghidap penyakit demam seperti api membakar terus-menerus.
17 Allah, cahaya Israel, akan menjadi api. Allah Israel, Allah yang suci, akan menjadi nyala api, yang dalam sehari akan menghanguskan segala-galanya, bahkan duri dan lalang.
18 Hutan lebat dan ladang subur di Asyur akan dimusnahkan sama sekali seperti seorang sakit yang merana hingga mati.
19 Pokok akan tinggal sedikit sahaja, sehingga seorang anak kecil pun dapat mengiranya.