6 Orang Yehuda berkata, “Kami telah mendengar tentang kesombongan orang Moab; betapa angkuhnya dan congkaknya mereka. Tetapi cakap besar mereka itu kosong semata-mata.”
7 Orang Moab akan menangis kerana penderitaan mereka. Mereka akan menangis apabila teringat akan makanan enak yang biasa dimakan mereka di Kir-Hareset. Mereka akan putus asa.
8 Ladang dekat Hesybon dan ladang anggur di Sibma telah musnah - ladang yang menghasilkan wain untuk pemerintah bangsa-bangsa dan memabukkan mereka. Pada suatu masa dahulu ladang anggur itu meluas sampai ke kota Yaezer, dan ke timur sampai ke padang gurun, dan ke barat sampai ke seberang Laut Mati.
9 Tetapi sekarang aku menangisi pokok anggur Sibma sebagaimana aku menangisi Yaezer. Aku mencucurkan air mata untuk Hesybon dan Eleale, kerana tiada lagi hasil tanaman untuk menyukakan hati orang.
10 Sekarang tiada sesiapa pun yang bersukacita di tanah yang subur itu. Tiada sesiapa pun yang bersorak atau bernyanyi di ladang-ladang anggur. Tiada lagi orang yang memeras buah anggur. Sorakan gembira mereka sudah berhenti.
11 Aku mengeluh dengan sedih melihat keadaan Moab dan Kir-Heres.
12 Orang Moab bersusah payah mendaki bukit ke tempat ibadat mereka untuk berdoa, tetapi usaha mereka sia-sia sahaja.