5 Bahkan orang Mesir pun akan terperanjat dan tawar hati apabila mendengar bahawa Tirus sudah dimusnahkan.
6 Merataplah dan larilah ke Sepanyol, hai penduduk kawasan pantai!
7 Inikah kota Tirus yang sentiasa bersukacita, yang dibina sejak zaman dahulu kala? Inikah kota yang mengutus orang ke seberang laut untuk merantau dan menetap di sana?
8 Siapakah yang merancangkan segala hal ini bagi Tirus, kota yang besar itu? Bukankah saudagar-saudagarnya kaum bangsawan yang paling dihormati di bumi?
9 TUHAN Yang Maha Kuasa telah merancangkannya, supaya Dia dapat mengakhiri kesombongan mereka yang sentiasa membangga-banggakan perbuatan mereka, serta menghina orang yang terhormat.
10 Pergilah bercucuk tanam, hai penduduk Sepanyol! Tiada sesiapa pun yang akan melindungi kamu lagi.
11 TUHAN telah merentangkan tangan-Nya ke atas lautan dan menggulingkan kerajaan-kerajaan. Dia telah memerintah supaya pusat-pusat perdagangan di Funisia dimusnahkan.