15 Kamu bercakap besar bahawa kamu telah mengikat perjanjian dengan maut dan mengadakan persetujuan dengan dunia orang mati. Kamu yakin bahawa bencana tidak akan menimpa kamu kerana kamu bergantung kepada dusta dan penipuan untuk melindungi diri kamu.
16 Tetapi inilah firman TUHAN Raja, “Aku meletakkan asas yang kuat dan kukuh di Sion; sebuah batu asas yang berharga dengan tulisan berikut, ‘Sesiapa yang percaya dengan teguh tidak akan cemas.’
17 Keadilan akan Kujadikan tali pengukur, dan kejujuran Kujadikan tali unting.”Segala dusta yang menjadi pergantungan kamu akan disapu oleh hujan batu, dan perlindungan kamu akan dimusnahkan oleh air bah.
18 Perjanjian kamu dengan maut dan persetujuan kamu dengan dunia orang mati akan dibatalkan. Kamu akan dikalahkan apabila bencana menimpa kamu.
19 Tiap-tiap pagi bencana akan menimpa kamu, dan siang malam kamu harus menanggungnya. Kamu akan gementar ketakutan apabila kamu mengerti akan perkhabaran Allah.
20 Kamu akan menjadi seperti orang yang mencuba tidur di atas katil yang terlalu pendek, dengan selimut yang terlalu kecil untuk menyelubunginya.
21 TUHAN akan bangkit di Gunung Perazim dan di Lembah Gibeon seperti yang dilakukan-Nya dahulu. Dia akan melaksanakan kehendak-Nya walaupun kelihatannya sangat aneh. Dia akan menyelesaikan pekerjaan-Nya yang menakjubkan itu.