21 TUHAN akan bangkit di Gunung Perazim dan di Lembah Gibeon seperti yang dilakukan-Nya dahulu. Dia akan melaksanakan kehendak-Nya walaupun kelihatannya sangat aneh. Dia akan menyelesaikan pekerjaan-Nya yang menakjubkan itu.
22 Jangan anggap ringan amaranku ini! Jika kamu tidak menghiraukannya, lebih susah lagi bagi kamu melepaskan diri. Aku telah mendengar keputusan TUHAN Raja Yang Maha Kuasa untuk memusnahkan seluruh negeri.
23 Dengarlah kata-kataku dan perhatikanlah pesanku.
24 Tiada petani yang terus-menerus membajak tanahnya dan menyediakannya untuk ditanami.
25 Setelah dia membajak tanah itu, dia menabur benih, baik jintan hitam ataupun jintan putih. Dia menanam gandum dan barli berderet-deret; kemudian di tepi ladang dia menanam tanaman lain.
26 Dia tahu melakukan kerjanya, kerana Allah telah mengajar dia.
27 Tidak sekali-kali dia menggunakan pemukul yang berat untuk menumbuk jintan hitam atau jintan putih. Sebaliknya, dia menggunakan pemukul yang ringan dan sesuai.