14 Kamu akan hancur seperti belanga, dan begitu luluh sehingga tiada bahagian yang dapat digunakan untuk mengambil bara, atau untuk mencedok air dari tempayan.”
15 TUHAN Raja, Allah Israel, Allah yang suci, berfirman kepada umat-Nya, “Kembalilah kepada-Ku dan percayalah kepada-Ku dengan hati yang tenteram. Maka kamu akan Kukuatkan dan Kuselamatkan.” Tetapi kamu tidak mahu.
16 Sebaliknya kamu merancang untuk lari daripada musuh dengan menunggang kuda yang laju. Memang kamu perlu lari! Pada sangka kamu kuda kamu cukup laju, tetapi pengejar-pengejar kamu lebih cepat!
17 Seribu orang akan lari apabila melihat seorang musuh, dan lima orang musuh cukup untuk menyebabkan kamu semua lari. Tentera kamu akan lenyap, dan yang tinggal hanya sebatang tiang bendera di atas bukit.
18 Namun TUHAN menanti-nantikan saatnya untuk menunjukkan belas kasihan-Nya kepada kamu. Dia mengasihani kamu kerana Dia Allah yang sentiasa berbuat adil. Berbahagialah mereka yang berharap kepada TUHAN.
19 Kamu yang tinggal di Yerusalem tidak akan menangis lagi. TUHAN berbelas kasihan. Manakala kamu berseru minta tolong kepada-Nya, Dia akan menjawab.
20 Tuhan akan memberi kamu cubaan yang berat, tetapi Dia sendiri akan menyertai kamu dan mengajar kamu. Kamu tidak perlu mencari-cari Dia lagi.