17 Seribu orang akan lari apabila melihat seorang musuh, dan lima orang musuh cukup untuk menyebabkan kamu semua lari. Tentera kamu akan lenyap, dan yang tinggal hanya sebatang tiang bendera di atas bukit.
18 Namun TUHAN menanti-nantikan saatnya untuk menunjukkan belas kasihan-Nya kepada kamu. Dia mengasihani kamu kerana Dia Allah yang sentiasa berbuat adil. Berbahagialah mereka yang berharap kepada TUHAN.
19 Kamu yang tinggal di Yerusalem tidak akan menangis lagi. TUHAN berbelas kasihan. Manakala kamu berseru minta tolong kepada-Nya, Dia akan menjawab.
20 Tuhan akan memberi kamu cubaan yang berat, tetapi Dia sendiri akan menyertai kamu dan mengajar kamu. Kamu tidak perlu mencari-cari Dia lagi.
21 Jika kamu menyimpang ke kanan atau ke kiri, kamu akan mendengar suara-Nya di belakang kamu berfirman, “Inilah jalannya, ikutlah jalan ini!”
22 Kamu akan mengambil patung-patung berhala kamu yang disadur dengan perak dan emas, lalu membuangnya seperti kotoran. Kamu akan berkata kepadanya, “Pergilah daripadaku!”
23 Ketika kamu menabur benih, TUHAN akan menurunkan hujan supaya benih itu tumbuh. Dia akan memberi kamu hasil yang banyak, dan bagi ternak kamu akan tersedia padang rumput yang luas.