18 Kami semua tahu, ya TUHAN, bahawa raja-raja Asyur telah memusnahkan banyak bangsa dan menghancurkan negeri mereka,
19 serta membakar dewa-dewa mereka. Tetapi dewa-dewa itu tidak berkuasa sama sekali kerana hanya patung daripada kayu dan batu yang dibuat oleh manusia.
20 Oleh itu, selamatkanlah kami daripada orang Asyur, ya TUHAN Allah kami, supaya semua bangsa di dunia tahu bahawa Engkau satu-satunya TUHAN.”
21 Kemudian Yesaya mengirim perkhabaran kepada Raja Hizkia bahawa TUHAN, Allah Israel telah mendengar doanya.
22 Demikianlah firman TUHAN, “Kota Yerusalem mentertawakan serta menghinakan engkau, hai Sanherib.
23 Siapakah yang engkau cela dan hina itu? Engkau telah bersikap sombong terhadap Aku, Allah Israel, Allah yang suci.
24 Engkau mengirim para utusan untuk membesar-besarkan dirimu di hadapan-Ku, bahawa dengan kereta kudamu engkau telah menaklukkan gunung-gunung tertinggi di Lebanon. Engkau bercakap besar bahawa engkau telah menebang pokok sedar yang tertinggi, dan pokok sipres yang terbaik, dan bahawa engkau telah menembusi hutan Lebanon yang paling lebat.