22 Demikianlah firman TUHAN, “Kota Yerusalem mentertawakan serta menghinakan engkau, hai Sanherib.
23 Siapakah yang engkau cela dan hina itu? Engkau telah bersikap sombong terhadap Aku, Allah Israel, Allah yang suci.
24 Engkau mengirim para utusan untuk membesar-besarkan dirimu di hadapan-Ku, bahawa dengan kereta kudamu engkau telah menaklukkan gunung-gunung tertinggi di Lebanon. Engkau bercakap besar bahawa engkau telah menebang pokok sedar yang tertinggi, dan pokok sipres yang terbaik, dan bahawa engkau telah menembusi hutan Lebanon yang paling lebat.
25 Engkau bercakap besar bahawa engkau menggali perigi dan minum air di negeri-negeri asing, dan bahawa tenteramu memijak-mijak Sungai Nil sehingga kering.
26 Belum pernahkah engkau mendengar bahawa Akulah yang merancangkan semua itu sejak dahulu? Sekarang Aku sudah melaksanakannya. Akulah yang memberi engkau kuasa untuk memusnahkan kota-kota berkubu sehingga menjadi puing-puing.
27 Penduduk di situ tidak berdaya; mereka ketakutan dan bingung. Mereka seperti rumput di padang, atau rumpai yang tumbuh di atas bumbung rumah, yang layu apabila ditiup oleh angin timur yang panas.
28 Tetapi Aku tahu akan segala halmu: segala perbuatanmu dan ke mana sahaja engkau pergi. Aku tahu bahawa engkau marah sekali terhadap Aku.