9 Semua orang yang membuat berhala tidak berguna, dan dewa-dewa yang dipuja mereka pun tidak berguna. Mereka yang menyembah dewa-dewa itu buta dan tidak tahu apa-apa; oleh itu mereka akan dipermalukan.
10 Sia-sia sahaja membuat patung daripada logam lalu menyembahnya sebagai dewa!
11 Tiap-tiap orang yang menyembah patung itu akan dipermalukan. Orang yang membuat berhala itu manusia belaka. Suruhlah mereka menghadap Aku; pasti mereka akan takut dan dipermalukan.
12 Tukang besi mengambil sekeping logam lalu membentuknya dengan menggunakan api dan pemukul. Dia mengerjakannya dengan sekuat tenaga. Sementara membentuk logam itu, dia merasa lapar, haus, dan penat.
13 Tukang kayu mengukur kayu. Dia melukis bentuk dengan kapur, mengukirnya dengan alat-alatnya, dan menjadikannya patung yang berupa manusia yang kacak, lalu meletakkannya di dalam rumahnya.
14 Barangkali dia menggunakan kayu sedar, kayu oak atau kayu sipres dari hutan. Barangkali dia menanam pokok laurel dan menantikan hujan supaya pokok itu tumbuh.
15 Demikianlah seorang mendapat kayu dan menggunakan sebahagian sebagai bahan api, dan sebahagian lagi untuk membuat berhala. Sebahagian kayu itu digunakannya sebagai kayu api, baik untuk memanaskan diri ataupun untuk membakar roti, dan sebahagian lagi untuk membuat dewa yang disembahnya.