1 TUHAN berfirman kepada umat-Nya, “Lakukanlah apa yang adil dan sesuai dengan hukum-Ku, kerana tidak lama lagi Aku akan menyelamatkan kamu.
2 Aku akan memberkati orang yang sentiasa merayakan hari Sabat dan tidak menyalahgunakannya. Aku akan memberkati orang yang tidak melakukan kejahatan.”
3 Orang bangsa asing yang telah bergabung dengan umat TUHAN tidak boleh berkata, “TUHAN tidak membenarkan aku menyembah Dia bersama-sama umat-Nya.”Orang yang telah dikembiri tidak boleh berkata bahawa dia bukan sebahagian daripada umat Allah kerana dia tidak boleh mendapat anak.
4 TUHAN berfirman kepada orang itu, “Jika kamu menghormati Aku dengan merayakan hari Sabat, dan jika kamu melakukan perkara-perkara yang menyenangkan hati-Ku, serta berpegang teguh pada perjanjian-Ku,
5 maka nama kamu akan diingat di dalam Rumah-Ku dan di kalangan umat-Ku. Hal itu lebih baik daripada mempunyai anak lelaki dan anak perempuan. Kamu tidak akan dilupakan.”
6 TUHAN berfirman kepada orang bangsa asing yang telah menjadi sebahagian daripada umat-Nya, yang mengasihi Dia dan berbakti kepada-Nya, yang merayakan hari Sabat serta berpegang teguh pada perjanjian-Nya,
7 “Aku akan membawa kamu ke Sion, bukit-Ku yang suci. Aku akan memberi kamu kegembiraan di dalam rumah doa-Ku. Aku akan menyambut korban-korban yang kamu persembahkan di mazbah-Ku. Rumah-Ku akan disebut rumah doa bagi semua bangsa.”