12 Kamu menyangka bahawa perbuatan kamu benar, tetapi Aku akan mendedahkan kelakuan buruk itu, dan berhala-berhala kamu tidak akan dapat menolong kamu.
13 Apabila kamu berseru minta tolong, biarlah berhala-berhala kamu menyelamatkan kamu! Berhala-berhala itu akan hilang diterbangkan oleh satu hembusan angin! Tetapi orang yang percaya kepada-Ku akan mewarisi negeri ini. Mereka akan menyembah Aku di dalam Rumah-Ku.”
14 TUHAN berfirman, “Biarlah umat-Ku kembali kepada-Ku. Binalah dan siapkanlah jalan! Singkirkanlah tiap-tiap halangan di jalan mereka!
15 Akulah Allah Yang Maha Tinggi dan Maha Suci, yang hidup selama-lamanya. Aku tinggal di tempat yang tinggi dan suci, tetapi Aku tinggal juga bersama-sama orang yang rendah hati dan yang bertaubat daripada dosa, supaya Aku dapat memulihkan keyakinan dan harapan mereka.
16 Akulah yang memberikan hidup kepada umat-Ku. Aku tidak menuduh mereka terus-menerus, dan Aku tidak sentiasa murka terhadap mereka.
17 Aku murka terhadap mereka kerana dosa dan ketamakan mereka. Itulah sebabnya Aku menghukum dan meninggalkan mereka. Tetapi mereka degil dan tetap mengikut jalan sendiri.
18 Aku sudah melihat kelakuan mereka, namun Aku akan menyembuhkan mereka. Aku akan memimpin dan menolong mereka. Aku akan menghiburkan hati orang yang berkabung.