6 Kamu mengambil batu-batu yang licin dari sungai, lalu menyembahnya sebagai berhala. Kamu mempersembahkan wain dan bijirin kepada berhala-berhala itu. Adakah kamu menyangka bahawa Aku berkenan dengan semua itu?
7 Kamu pergi ke puncak gunung yang tinggi-tinggi untuk mempersembahkan korban dan memuaskan nafsu berahi.
8 Kamu memasang berhala-berhala yang cabul di belakang pintu dan tiang pintu kamu. Kamu telah meninggalkan Aku. Kamu bertelanjang lalu naik ke katil yang besar bersama-sama kekasih kamu: orang yang kamu upah supaya berseketiduran dengan kamu. Dengan cara itu kamu memuaskan nafsu.
9 Kamu memakai minyak dan wangi-wangian lalu menyembah Dewa Molokh. Kamu mengirim utusan ke negeri-negeri jauh, bahkan ke dunia orang mati.
10 Kamu penat mencari berhala lain, namun kamu tidak mahu berhenti. Kamu menyangka berhala-berhala kamu yang cabul dapat menguatkan kamu sehingga kamu tidak menjadi lemah.
11 TUHAN berfirman, “Siapakah dewa-dewa yang menakut-nakutkan kamu sehingga kamu berdusta terhadap-Ku dan melupakan Aku sama sekali? Adakah kamu tidak lagi menghormati Aku kerana Aku terlalu lama berdiam diri?
12 Kamu menyangka bahawa perbuatan kamu benar, tetapi Aku akan mendedahkan kelakuan buruk itu, dan berhala-berhala kamu tidak akan dapat menolong kamu.