1 Aku memandang ke kubah yang ada di atas kepala kerub-kerub itu dan nampak sesuatu seperti takhta yang dibuat daripada batu nilam.
2 Allah berfirman kepada orang yang berpakaian linen itu, “Pergilah ke antara roda-roda di bawah kerub-kerub itu dan ambillah segenggam bara api dengan tanganmu. Lalu hamburkanlah bara itu di atas seluruh kota.”Aku memperhatikan dia pergi.
3 Ketika dia masuk, kerub-kerub itu sedang berdiri di bahagian selatan Rumah TUHAN, dan halaman dalam dipenuhi awan.
4 Cahaya berkilauan, yang menandakan hadirat TUHAN naik dari kerub-kerub itu dan bergerak ke pintu masuk Rumah TUHAN. Kemudian awan memenuhi Rumah TUHAN, dan halaman itu menjadi terang benderang.
5 Bunyi kepakan sayap kerub-kerub itu terdengar sampai ke halaman luar. Bunyi itu seperti suara Allah Yang Maha Kuasa.
6 Apabila TUHAN memerintah orang yang berpakaian linen itu mengambil api dari antara roda-roda yang di bawah kerub-kerub itu, dia masuk dan berdiri di tepi salah sebuah roda itu.
7 Salah satu kerub itu memasukkan tangannya ke dalam api yang ada di tengah-tengah kerub-kerub lalu memungut beberapa potong bara dan meletakkannya di dalam tangan orang yang berpakaian linen itu. Orang itu pun menyambut bara itu lalu pergi.
8 Aku nampak setiap kerub itu mempunyai sesuatu yang seperti tangan manusia di bawah setiap sayapnya.
9-10 Aku juga nampak bahawa di samping setiap kerub itu ada sebuah roda. Keempat-empat roda itu serupa dan bersinar-sinar seperti batu permata. Setiap roda mempunyai sebuah lagi roda yang melintang di tengah-tengahnya.
11 Dengan demikian kerub-kerub itu dapat bergerak ke mana-mana arah tanpa berpusing. Semua kerub itu bergerak bersama-sama ke arah yang ditujui tanpa berpusing.
12 Seluruh badan, belakang, tangan, sayap, dan roda penuh dengan mata.
13 Roda itu sama dengan roda yang aku nampak dalam penglihatan yang pertama.
14 Setiap kerub mempunyai empat muka yang berlainan: yang pertama muka lembu, yang kedua muka manusia, yang ketiga muka singa, dan yang keempat muka helang.
15 Kerub-kerub itulah yang aku nampak dahulu di tebing Sungai Kebar. Apabila kerub-kerub itu naik ke udara
16 dan bergerak, roda-roda itu ikut sama. Apabila kerub-kerub itu mengembangkan sayap untuk terbang, roda-roda itu pun ikut.
17 Apabila kerub-kerub itu berhenti atau terbang, roda-roda itu pun ikut kerana dikuasai oleh kerub-kerub itu.
18 Kemudian cahaya berkilauan yang menandakan hadirat TUHAN, meninggalkan pintu masuk Rumah TUHAN dan pindah ke atas kerub-kerub itu.
19 Kerub-kerub itu mengembangkan sayap lalu terbang dari muka bumi sedang aku memandang, dan roda-roda pun ikut. Kerub-kerub itu berhenti sebentar di pintu gerbang timur Rumah TUHAN, dan cahaya yang berkilauan itu tetap di atas kerub-kerub itu.
20 Aku mengenali semua kerub itu sebagai kerub-kerub yang ada di bawah Allah Israel, yang telah aku nampak di tebing Sungai Kebar.
21 Setiap kerub itu mempunyai empat muka, empat sayap, dan sesuatu seperti tangan manusia di bawah setiap sayapnya.
22 Muka kerub-kerub itu serupa dengan muka yang aku nampak di tepi Sungai Kebar. Setiap kerub bergerak lurus ke hadapan.