Yehezkiel 39 BMDC

Gog Dikalahkan

1 TUHAN Raja berfirman, “Hai manusia fana, kecamlah Gog, penguasa utama negeri-negeri Mesekh dan Tubal, dan beritahulah dia bahawa Aku musuhnya.

2 Aku akan memusingkan dia, dan membawa dia keluar dari tempat jauh di utara sehingga dia sampai ke pergunungan Israel.

3 Kemudian Aku akan memukul busurnya sehingga terlepas dari tangan kirinya, dan menjatuhkan anak panah dari tangan kanannya.

4 Gog dan tenteranya, serta tentera sekutunya akan gugur di pergunungan Israel. Aku akan membiarkan mayat mereka dimakan burung dan binatang liar.

5 Mereka akan jatuh dan mati di padang. Aku, TUHAN Raja, telah berfirman.

6 Aku akan menyalakan api di negeri Magog, dan di sepanjang pantai tempat orang hidup dengan aman. Lalu semua orang akan tahu bahawa Akulah TUHAN.

7 Aku akan memastikan Israel, umat-Ku, kenal akan nama-Ku yang suci, dan Aku tidak akan membiarkan nama-Ku dicemarkan lagi. Barulah bangsa-bangsa tahu bahawa Akulah TUHAN, Allah Israel, Allah yang suci.”

8 TUHAN Raja berfirman, “Hari yang Aku sebut itu pasti akan tiba.

9 Penduduk kota-kota di Israel akan keluar dan mengumpulkan senjata yang telah ditinggalkan, iaitu perisai, busur, anak panah, tombak, dan belantan. Mereka akan menggunakan semua itu sebagai bahan api, dan semuanya cukup untuk tujuh tahun.

10 Oleh itu mereka tidak usah mengumpulkan kayu api di ladang ataupun menebang pokok di hutan, kerana mereka mempunyai cukup bahan api daripada senjata yang ditinggalkan itu. Mereka akan menjarah dan merampas harta orang yang dahulu menjarah serta merampas harta mereka.” TUHAN Raja telah berfirman.

Penguburan Gog

11 TUHAN berfirman, “Apabila segala perkara itu berlaku kelak, Aku akan memberi Gog satu tempat di Israel bagi penguburannya, iaitu di Lembah Penyeberangan di sebelah timur Laut Mati. Gog dan semua tenteranya akan dikuburkan di sana, dan lembah itu akan disebut ‘Lembah Tentera Gog.’

12 Umat Israel akan memerlukan masa tujuh bulan untuk menguburkan semua mayat itu supaya negeri itu tidak najis lagi.

13 Tiap-tiap orang di negeri itu akan menolong menguburkan mayat, dan mereka akan diberikan penghormatan pada hari kemenangan-Ku. Aku, TUHAN Raja telah berfirman.

14 Selepas tujuh bulan itu, beberapa orang akan dipilih untuk menjelajah negeri itu dan mencari serta menguburkan mayat-mayat yang masih terbiar, supaya negeri itu tidak najis lagi.

15 Dalam perjalanan itu, setiap kali mereka menemui tulang manusia, mereka akan membuat sebuah tanda di sebelah tulang itu, supaya penggali kubur dapat menguburkan tulang itu di Lembah Tentera Gog.

16 (Tidak jauh dari sana akan ada sebuah kota yang mempunyai nama yang sama dengan nama tentera itu.) Dengan demikian negeri itu akan dibersihkan daripada yang najis.”

17 TUHAN Raja berfirman kepadaku, “Hai manusia fana, panggillah semua burung dan binatang dari segala tempat untuk makan korban yang Aku sediakan. Aku akan mengadakan pesta besar di pergunungan Israel. Di sana burung dan binatang itu akan dapat makan daging dan minum darah.

18 Haiwan itu harus makan mayat askar-askar dan minum darah penguasa-penguasa dunia, yang akan dibunuh seperti domba jantan atau anak domba atau kambing jantan atau lembu jantan yang gemuk.

19 Apabila Aku membunuh semua orang itu seperti korban, burung dan binatang harus makan semua lemak sampai kenyang, dan minum darah sampai mabuk.

20 Pada meja-Ku burung dan binatang itu akan mengenyangkan perut dengan memakan kuda serta penunggang kuda, askar dan pejuang. Aku, TUHAN Raja, telah berfirman.”

Israel Dipulihkan

21 TUHAN berfirman, “Aku akan menunjukkan kemuliaan-Ku kepada bangsa-bangsa, dan mereka akan melihat Aku menggunakan kuasa-Ku untuk melaksanakan keputusan-Ku yang adil.

22 Mulai saat itu Israel akan tahu bahawa Akulah TUHAN, Allah mereka.

23 Bangsa-bangsa akan tahu bahawa umat Israel dibuang kerana dosa mereka terhadap Aku. Aku meninggalkan mereka, dan membiarkan mereka dikalahkan oleh musuh dan dibunuh dalam peperangan.

24 Aku membalas mereka setimpal dengan kenajisan dan kejahatan mereka, dan Aku meninggalkan mereka.”

25 TUHAN Raja berfirman, “Tetapi sekarang Aku akan mengasihani keturunan Yakub, umat Israel, dan menjadikan mereka makmur semula. Aku akan membela nama-Ku yang suci.

26 Apabila mereka tinggal lagi di negeri mereka sendiri dengan aman, dan tidak seorang pun yang mengancam mereka, maka mereka akan melupakan hinaan terhadap mereka kerana mengkhianati Aku.

27 Sebagai bukti kepada bangsa-bangsa bahawa Aku suci, Aku akan membawa umat-Ku pulang dari negeri-negeri musuh mereka.

28 Barulah umat-Ku tahu bahawa Akulah TUHAN, Allah mereka. Mereka akan tahu hal itu kerana Aku telah membiarkan mereka dibuang ke negeri orang, tetapi Aku juga mengumpulkan mereka dan membawa mereka pulang ke negeri mereka sendiri, tanpa meninggalkan seorang pun di negeri pembuangan.

29 Aku akan mencurahkan Roh-Ku kepada umat Israel, dan Aku tidak akan meninggalkan mereka lagi. Aku, TUHAN Raja, telah berfirman.”