1 TUHAN berfirman kepadaku,
2 “Hai manusia fana, kecamlah negeri Edom.
3 Sampaikanlah apa yang Aku, TUHAN Raja firmankan kepada penduduknya:Aku musuh kamu, hai penduduk perbukitan Edom!Tanah kamu akan Kujadikan tandus dan lengang.
4 Kota-kota kamu akan Kujadikan reruntuhan,dan negeri kamu dijadikan padang gurun.Barulah kamu tahu bahawa Akulah TUHAN.
5 Kamu sentiasa memusuhi umat Israel. Kamu membiarkan mereka dibantai pada waktu mereka ditimpa bencana sebagai hukuman terakhir bagi dosa mereka.
6 Oleh itu, Aku, Allah yang hidup, TUHAN Raja, bersumpah bahawa kamu akan mati dan kamu tidak akan terlepas daripadanya. Kamu bersalah kerana melakukan pembunuhan, oleh itu pembunuhan pun akan mengejar kamu.
7 Aku akan menjadikan perbukitan Edom lengang, dan membunuh sesiapa sahaja yang lalu di sana.
8 Bukit-bukitnya akan Aku liputi dengan mayat, dan lembah-lembah akan Aku penuhi dengan mayat orang yang gugur dalam peperangan.
9 Aku akan menjadikan negeri kamu tandus dan lengang selama-lamanya. Tiada sesiapa pun akan tinggal di kota-kota kamu lagi. Barulah kamu tahu bahawa Akulah TUHAN.
10 Kamu berkata bahawa kedua-dua bangsa itu, Yehuda dan Israel adalah kepunyaan kamu, dan kamu akan menduduki tanah mereka, walaupun Aku, TUHAN ialah Allah mereka.
11 Oleh itu, demi Aku, Allah yang hidup, TUHAN Raja, Aku akan membalas dendam terhadap kamu kerana kamu marah, cemburu, dan benci kepada umat-Ku. Mereka akan tahu bahawa Aku menghukum kamu kerana perbuatan kamu terhadap mereka.
12 Barulah kamu tahu bahawa Aku, TUHAN, telah mendengar hinaan kamu apabila kamu berkata, ‘Gunung-gunung Israel sudah menjadi lengang dan diserahkan menjadi mangsa kita.’
13 Aku telah mendengar segala nistaan kamu terhadap Aku.”
14 TUHAN Raja berfirman, “Aku akan menjadikan negeri kamu tandus dan lengang sehingga seluruh dunia bersukacita kerana kejatuhan kamu,
15 sebagaimana kamu dahulu bersukacita melihat negeri Israel, milik-Ku itu menjadi tandus dan lengang. Sesungguhnya perbukitan Seir, bahkan seluruh negeri Edom akan menjadi tandus dan lengang. Pada masa itu barulah setiap orang tahu bahawa Akulah TUHAN.”