1 TUHAN berfirman kepadaku,
2 “Hai manusia fana, sudahkah engkau bersedia menghukum kota yang penuh dengan pembunuh? Tunjukkanlah segala perbuatannya yang jijik itu kepadanya.
3 Beritahulah kota itu apa yang Aku, TUHAN Raja firmankan: Kerana kamu telah membunuh amat banyak orangmu sendiri, dan telah menajiskan diri dengan menyembah berhala, sekarang saat hukumanmu sudah dekat.
4 Kamu bersalah kerana telah melakukan pembunuhan, dan kamu dinajiskan oleh berhala-berhala yang kamu buat. Hukuman terakhir bagimu sudah dekat. Aku membiarkan bangsa-bangsa dan semua negeri mengolok-olokkan dan mencerca kamu.
5 Negeri-negeri yang dekat dan yang jauh mengejek kamu kerana kamu melanggar hukum dan peraturan.
6 Semua pemimpin Israel bergantung kepada kekuatan mereka sendiri dan melakukan pembunuhan.
7 Tiada sesiapa pun di kota itu menghormati ibu bapanya. Kamu menipu orang asing, serta memperdayakan balu dan yatim piatu.
8 Kamu memandang rendah tempat-tempat yang suci dan kamu tidak merayakan hari Sabat.
9 Sesetengah umatmu berdusta agar orang lain dihukum bunuh. Ada pula yang makan makanan yang telah dipersembahkan kepada berhala. Ada orang yang selalu menuruti hawa nafsu mereka.
10 Ada orang yang bersetubuh dengan isteri bapa mereka. Ada orang yang memaksa wanita yang sedang haid untuk bersetubuh dengan mereka.
11 Ada orang yang berzina; yang lain pula bersetubuh dengan menantu perempuan atau saudara perempuan mereka yang seayah lain ibu.
12 Ada orang yang menjadi pembunuh upahan. Ada orang memungut faedah wang daripada sesama orang Israel. Mereka menjadi kaya dengan menipu orang. Mereka sudah melupakan Aku.” TUHAN Raja telah berfirman.
13 “Aku akan menghantam perompak dan pembunuh kamu.
14 Masih beranikah kamu atau masih kuatkah kamu mengangkat tanganmu setelah Aku menghukum kamu? Aku, TUHAN telah berfirman dan Aku akan melakukan apa yang telah Kufirmankan.
15 Aku akan mencerai-beraikan pendudukmu ke semua negeri dan bangsa. Aku akan menghentikan perbuatanmu yang jahat itu.
16 Bangsa-bangsa lain akan menghina kamu, tetapi kamu akan tahu bahawa Akulah TUHAN.”
17 TUHAN berfirman kepadaku,
18 “Hai manusia fana, umat Israel tidak berguna bagi-Ku. Mereka seperti sanga - tembaga, timah putih, besi, dan timah hitam - yang tersisa selepas perak dimurnikan di dalam relau.
19-20 Oleh itu Aku, TUHAN Raja memberitahu mereka sekarang, bahawa mereka tidak berguna seperti sanga itu. Sebagaimana orang memasukkan bijih perak, tembaga, besi, dan timah hitam ke dalam relau, demikian juga Aku akan mengumpulkan dan membawa mereka ke Yerusalem. Sebagaimana api melebur bijih logam, demikian juga kemurkaan-Ku akan melebur mereka.
21 Sesungguhnya Aku akan mengumpulkan mereka di Yerusalem, menyalakan api kemurkaan-Ku di bawah mereka, lalu melebur mereka.
22 Sebagaimana perak dilebur di dalam relau, demikianlah Israel akan dilebur di Yerusalem. Barulah mereka tahu bahawa mereka merasakan kemurkaan TUHAN.”
23 TUHAN berfirman lagi kepadaku,
24 “Hai manusia fana, beritahulah umat Israel bahawa negeri mereka tidak suci. Oleh itu Aku murka dan menghukum mereka.
25 Pemimpin-pemimpin mereka seperti singa yang mengaum setelah menerkam mangsa. Mereka membunuh orang, merampas segala wang dan harta, serta menyebabkan banyak wanita menjadi balu.
26 Para imam melanggar hukum-Ku dan tidak menghormati apa yang suci bagi-Ku. Mereka tidak membezakan apa yang suci dan apa yang tidak suci. Mereka tidak mengajar perbezaan antara yang halal dan yang haram. Mereka tidak menghiraukan hari Sabat. Akibatnya umat Israel tidak menghormati Aku.
27 Pegawai kerajaan sama seperti serigala yang mencarik-carik mangsa mereka. Mereka melakukan pembunuhan untuk menjadi kaya.
28 Para nabi menyembunyikan dosa-dosa itu seperti orang mengapuri tembok. Mereka nampak penglihatan yang palsu, dan mereka membuat ramalan yang palsu juga. Mereka mengatakan bahawa mereka menyampaikan firman daripada TUHAN Raja, padahal Aku, TUHAN tidak berfirman kepada mereka.
29 Orang kaya menipu dan merompak. Mereka menganiaya orang miskin dan memperdayakan orang asing.
30 Aku mencari seorang yang dapat membina tembok, yang dapat berdiri di bahagian tembok yang sudah roboh untuk mempertahankan negeri ketika Aku hendak memusnahkannya kerana Aku murka, tetapi tidak seorang pun Aku temui.
31 Oleh itu Aku akan melampiaskan kemurkaan-Ku kepada mereka. Seperti api, Aku akan membinasakan mereka kerana perbuatan mereka.” TUHAN Raja telah berfirman.