1 Aku merasakan kuasa TUHAN, dan Roh-Nya membawa aku ke sebuah lembah yang penuh dengan tulang.
2 TUHAN membawa aku berkeliling lembah itu, dan aku nampak tulang-tulang bertaburan yang sungguh banyak dan sangat kering.
3 Dia berfirman kepadaku, “Hai manusia fana, dapatkah tulang-tulang ini hidup semula?”Aku menjawab, “Ya TUHAN Raja, hanya Engkau yang tahu akan jawapannya!”
4 Dia berfirman, “Bernubuatlah kepada tulang-tulang itu. Suruhlah tulang-tulang itu mendengar firman TUHAN.
5 Beritahulah tulang-tulang itu bahawa Aku, TUHAN Raja berfirman kepada tulang kering itu, ‘Aku akan menghembuskan nafas ke dalam kamu supaya kamu hidup semula.
6 Aku akan memberi kamu urat dan otot, serta menyalut kamu dengan kulit. Aku akan memberi kamu nafas supaya kamu hidup semula. Barulah kamu tahu bahawa Akulah TUHAN.’ ”
7 Maka aku, Yehezkiel, bernubuat sebagaimana aku disuruh. Sedang aku bernubuat, aku mendengar bunyi berderak-derik, lalu tulang-tulang itu mula bersambung antara satu sama lain.
8 Sedang aku memperhatikannya, tulang-tulang itu mula berurat dan berotot, lalu diliputi kulit, tetapi tubuh-tubuh itu belum bernafas.
9 Allah berfirman kepadaku, “Hai manusia fana, bernubuatlah kepada angin. Katakanlah bahawa TUHAN Raja memerintah angin supaya datang dari setiap arah untuk menghembuskan nafas ke dalam tubuh-tubuh ini sehingga hidup semula.”
10 Aku pun bernubuat sebagaimana aku disuruh. Lalu angin menghembuskan nafas ke dalam tubuh-tubuh itu sehingga tubuh-tubuh itu hidup dan berdiri. Bilangan mereka sangat banyak, cukup untuk membentuk satu pasukan tentera yang besar.
11 Allah berfirman kepadaku, “Hai manusia fana, umat Israel sama seperti tulang-tulang itu. Mereka berkata bahawa mereka kering, tanpa harapan dan tanpa masa depan.
12 Oleh itu bernubuatlah kepada umat-Ku, Israel, dan beritahulah mereka bahawa Aku, TUHAN Raja akan membuka kubur mereka. Aku akan mengeluarkan mereka dari situ dan membawa mereka pulang ke negeri Israel.
13 Apabila Aku melakukan semua hal itu, mereka akan tahu bahawa Akulah TUHAN.
14 Aku akan menghembuskan nafas-Ku ke dalam mereka untuk menghidupkan mereka semula. Lalu Aku akan membenarkan mereka tinggal lagi di negeri mereka sendiri. Barulah mereka tahu bahawa Akulah TUHAN. Aku telah berjanji akan melakukan perkara itu dan Aku pasti melakukannya. Aku, TUHAN, telah berfirman.”
15 TUHAN berfirman kepadaku lagi,
16 “Hai manusia fana, ambillah sebatang kayu dan tuliskan, ‘Kerajaan Yehuda.’ Kemudian ambillah sebatang kayu lagi dan tuliskan, ‘Kerajaan Israel.’
17 Lalu peganglah kedua-dua batang kayu itu supaya hujungnya bersambung dan menyerupai sebatang kayu.
18 Apabila bangsamu bertanyakan maknanya,
19 beritahulah mereka bahawa Aku, TUHAN Raja, akan mengambil kayu yang melambangkan Israel dan menyambungkannya dengan kayu yang melambangkan Yehuda. Aku akan memegang kedua-dua batang kayu itu supaya menjadi satu batang dalam tangan-Ku.
20 Peganglah kedua-dua batang kayu itu dan biarlah bangsa itu melihatnya.
21 Lalu beritahulah mereka bahawa Aku, TUHAN Raja akan mengumpulkan semua umat-Ku dari negeri-negeri tempat mereka telah pergi. Aku akan membawa mereka pulang ke negeri mereka sendiri.
22 Aku akan menjadikan mereka satu bangsa di tanah itu, di pergunungan Israel. Mereka akan diperintah oleh seorang raja dan tidak akan terpecah kepada dua bangsa atau dua kerajaan lagi.
23 Mereka tidak akan menajiskan diri mereka lagi dengan menyembah berhala yang menjijikkan atau menodai diri dengan berbuat dosa. Aku akan membebaskan mereka daripada segala yang menyebabkan mereka berdosa dan mengkhianati Aku. Aku akan menyucikan mereka; mereka akan menjadi umat-Ku, dan Aku akan menjadi Allah mereka.
24 Seorang raja seperti Daud, hamba-Ku, akan menjadi raja mereka. Mereka akan disatukan di bawah seorang penguasa dan mereka akan mentaati hukum-Ku dengan setia.
25 Mereka akan tinggal di negeri yang Kuberikan kepada Yakub, hamba-Ku, di negeri tempat kediaman nenek moyang mereka. Mereka serta keturunan mereka akan tinggal di sana selama-lamanya. Seorang raja seperti Daud, hamba-Ku, akan memerintah mereka selama-lamanya.
26 Aku akan membuat perjanjian dengan mereka, dan perjanjian itu akan menjamin keselamatan mereka selama-lamanya. Aku akan memberkati mereka dan menambah bilangan mereka. Aku akan membina Rumah-Ku, yang akan tetap di negeri mereka selama-lamanya.
27 Aku akan tinggal bersama-sama mereka. Aku akan menjadi Allah mereka, dan mereka menjadi umat-Ku.
28 Apabila Aku menempatkan Rumah-Ku di tengah-tengah mereka untuk selama-lamanya, barulah bangsa-bangsa akan tahu bahawa Aku, TUHAN, telah memilih Israel sebagai umat-Ku sendiri.”