13 Aku akan mengeluarkan mereka dari negeri-negeri asing dan mengumpulkan mereka, lalu membawa mereka pulang ke tanah air mereka. Aku akan membawa mereka balik ke gunung-gunung dan lembah-lembah di Israel. Aku akan memberi mereka makan di padang-padang rumput yang subur.
14 Aku akan membiarkan mereka merumput dengan tenteram di padang hijau. Aku akan membolehkan mereka makan di padang rumput di gunung, di lembah, dan di padang rumput yang hijau di Israel.
15 Aku sendiri akan menggembalakan domba-domba-Ku. Aku akan mencari tempat berehat bagi mereka. Aku, TUHAN Raja, telah berfirman.
16 Aku akan mencari mereka yang hilang, membawa pulang mereka yang sesat, membalut mereka yang luka, dan mengubati mereka yang sakit; tetapi mereka yang gemuk dan kuat akan Kubinasakan, kerana Aku gembala yang melakukan apa yang adil.
17 Dengarlah, hai domba-domba-Ku. Aku, TUHAN Raja, memberitahu kamu bahawa Aku akan mengadili kamu masing-masing, dan memisahkan yang baik daripada yang jahat, domba daripada kambing.
18 Di kalangan kamu ada yang tidak puas hati hanya dengan memakan rumput yang terbaik, tetapi juga memijak-mijak rumput yang tidak dimakan mereka! Mereka minum air jernih, lalu mengeruhkan air yang tidak diminum mereka.
19 Domba-domba-Ku yang lain terpaksa makan rumput yang telah dipijak-pijak, dan minum air yang telah dikeruhkan.