11 Engkau bertekad untuk menyerang satu negeri yang tidak mempunyai pertahanan, negeri yang penduduknya hidup dengan aman dan tenteram di kota-kota yang tidak bertembok dan tidak mempunyai alat-alat pertahanan.
12 Engkau akan merompak dan menjarah harta penduduk kota-kota yang runtuh pada waktu dahulu. Mereka telah dikumpulkan dari negeri-negeri lain dan sekarang mereka mempunyai banyak harta dan ternak. Mereka tinggal di pusat dunia.
13 Orang Syeba, orang Dedan, dan pedagang-pedagang dari kota-kota Sepanyol akan bertanya kepadamu, ‘Adakah engkau mengumpulkan tenteramu dan melancarkan serangan untuk menjarah serta merompak? Adakah engkau berniat untuk melarikan segala perak dan emas, ternak dan harta benda itu?’ ”
14 Maka TUHAN Raja mengutus aku untuk memberitahu Gog tentang firman-Nya, “Sekarang, sedang Israel, umat-Ku hidup dengan aman, engkau akan berangkat
15 dari tempatmu yang jauh di utara. Engkau akan membawa pasukan berkuda yang besar dan kuat dari negeri-negeri lain,
16 dan menyerang Israel, umat-Ku, seperti badai melanda bumi. Pada masa itu, Aku akan mengutus engkau untuk menyerang negeri-Ku. Dengan tindakan-Ku melalui engkau, bangsa-bangsa akan tahu bahawa Aku suci.
17 Engkaulah yang Aku sebut dahulu, ketika Aku berfirman melalui nabi-nabi-Ku di Israel, bahawa pada masa depan Aku akan mengutus seorang untuk menyerang Israel.” TUHAN Raja telah berfirman.