2 “Hai manusia fana, kecamlah Gog, penguasa utama negeri-negeri Mesekh dan Tubal di tanah Magog. Kecamlah dia
3 dan beritahulah dia bahawa Aku, TUHAN Raja, ialah musuhnya.
4 Aku akan menjadikan dia tidak berdaya, memasang kait pada rahangnya, dan menyeretnya bersama-sama semua pasukannya. Pasukan berkudanya yang berpakaian seragam itu sangat banyak bilangannya. Tiap-tiap askar mempunyai perisai dan pedang.
5 Tenteranya terdiri daripada askar dari Persia, Etiopia, dan Libia, dan masing-masing mempunyai perisai dan topi besi.
6 Semua pejuang dari negeri-negeri Gomer dan Bet-Togarma di utara pun termasuk tenteranya. Askar-askar dari banyak bangsa lain ikut juga.
7 Suruhlah Gog bersiap, dan hendaklah semua pasukannya pun bersiap melaksanakan perintahnya.
8 Selepas bertahun-tahun, Aku akan memerintah dia menyerang Israel, negeri yang sudah dibangun semula setelah musnah kerana perang. Negeri itu telah lama dibiarkan menjadi tandus dan lengang, kemudian orang Israel kembali dari negeri-negeri asing ke pergunungan negeri mereka. Sekarang mereka semua hidup dengan aman.