7 Suruhlah Gog bersiap, dan hendaklah semua pasukannya pun bersiap melaksanakan perintahnya.
8 Selepas bertahun-tahun, Aku akan memerintah dia menyerang Israel, negeri yang sudah dibangun semula setelah musnah kerana perang. Negeri itu telah lama dibiarkan menjadi tandus dan lengang, kemudian orang Israel kembali dari negeri-negeri asing ke pergunungan negeri mereka. Sekarang mereka semua hidup dengan aman.
9 Gog dan tenteranya, serta banyak bangsa yang mengiringinya akan menyerang seperti badai dan meliputi seluruh negeri itu seperti awan.”
10 TUHAN Raja berfirman kepada Gog, “Pada masa itu, engkau akan membuat rancangan jahat.
11 Engkau bertekad untuk menyerang satu negeri yang tidak mempunyai pertahanan, negeri yang penduduknya hidup dengan aman dan tenteram di kota-kota yang tidak bertembok dan tidak mempunyai alat-alat pertahanan.
12 Engkau akan merompak dan menjarah harta penduduk kota-kota yang runtuh pada waktu dahulu. Mereka telah dikumpulkan dari negeri-negeri lain dan sekarang mereka mempunyai banyak harta dan ternak. Mereka tinggal di pusat dunia.
13 Orang Syeba, orang Dedan, dan pedagang-pedagang dari kota-kota Sepanyol akan bertanya kepadamu, ‘Adakah engkau mengumpulkan tenteramu dan melancarkan serangan untuk menjarah serta merompak? Adakah engkau berniat untuk melarikan segala perak dan emas, ternak dan harta benda itu?’ ”