1 Pada hari kesepuluh, bulan pertama dalam tahun kedua puluh lima masa kami dalam buangan, dan tahun keempat belas selepas Yerusalem ditakluki, aku merasakan kuasa TUHAN, lalu Dia membawa aku pergi.
2 Dalam satu penglihatan, Allah membawa aku ke negeri Israel dan menempatkan aku di atas sebuah gunung yang tinggi. Di hadapanku, kelihatan bangunan-bangunan yang menyerupai sebuah kota.
3 Dia membawa aku ke situ lalu aku nampak seorang lelaki yang bersinar seperti gangsa, berdiri di pintu gerbang. Orang itu sedang memegang tali pengukur daripada linen dan juga sebatang kayu pengukur.
4 Lelaki itu berkata kepadaku, “Hai manusia fana, dengarlah baik-baik dan perhatikanlah segala sesuatu yang aku tunjukkan kepadamu, kerana untuk maksud itulah engkau telah dibawa ke sini. Hendaklah engkau memberitahu umat Israel segala yang engkau lihat.”
5 Aku nampak Rumah TUHAN yang dikelilingi tembok. Lelaki itu menggunakan kayu pengukur yang panjangnya 3 meter, lalu mengukur tembok itu. Tinggi tembok itu 3 meter, dan tebalnya pun 3 meter.
6 Selepas itu dia pergi ke pintu gerbang yang menghadap ke timur. Dia menaiki tangga pintu gerbang, dan di atas tangga itu dia mengukur ambang pintu; lebarnya 3 meter.