2 Dalam satu penglihatan, Allah membawa aku ke negeri Israel dan menempatkan aku di atas sebuah gunung yang tinggi. Di hadapanku, kelihatan bangunan-bangunan yang menyerupai sebuah kota.
3 Dia membawa aku ke situ lalu aku nampak seorang lelaki yang bersinar seperti gangsa, berdiri di pintu gerbang. Orang itu sedang memegang tali pengukur daripada linen dan juga sebatang kayu pengukur.
4 Lelaki itu berkata kepadaku, “Hai manusia fana, dengarlah baik-baik dan perhatikanlah segala sesuatu yang aku tunjukkan kepadamu, kerana untuk maksud itulah engkau telah dibawa ke sini. Hendaklah engkau memberitahu umat Israel segala yang engkau lihat.”
5 Aku nampak Rumah TUHAN yang dikelilingi tembok. Lelaki itu menggunakan kayu pengukur yang panjangnya 3 meter, lalu mengukur tembok itu. Tinggi tembok itu 3 meter, dan tebalnya pun 3 meter.
6 Selepas itu dia pergi ke pintu gerbang yang menghadap ke timur. Dia menaiki tangga pintu gerbang, dan di atas tangga itu dia mengukur ambang pintu; lebarnya 3 meter.
7 Di belakang pintu gerbang itu ada sebuah lorong dan tiga buah bilik pengawal pada tiap-tiap sisinya. Tiap-tiap bilik berbentuk empat persegi, setiap sisi berukuran 3 meter, dan tembok pemisah bilik setebal 2.5 meter. Selepas bilik-bilik pengawal itu, lorong memanjang 3 meter lagi dan menuju ke ruangan depan yang menghadap Rumah TUHAN.
8-9 Lelaki itu mengukur ruangan tersebut dan ternyata lebarnya 4 meter. Itulah bahagian pintu gerbang yang terdekat dengan Rumah TUHAN, dan tembok di bahagian itu setebal 1 meter.