19 Hanya imam-imam keturunan Zadok daripada suku Lewi boleh datang ke hadirat-Ku untuk melayani Aku. Aku, TUHAN Raja, memerintahkan hal itu. Hendaklah engkau memberi mereka seekor anak lembu jantan supaya dipersembahkan sebagai korban untuk mengampunkan dosa.
20 Hendaklah engkau mengambil sedikit darah korban itu dan membubuhkannya pada unjuran di keempat-empat sudut puncak mazbah, dan juga pada sudut-sudut bahagian tengahnya, serta di sekeliling tepi mazbah itu. Dengan cara itu engkau menyucikan dan mentahbiskan mazbah itu.
21 Ambillah anak lembu jantan yang dipersembahkan sebagai korban untuk mengampunkan dosa, dan bakarlah korban itu di tempat yang ditentukan, iaitu di luar kawasan suci Rumah TUHAN.
22 Esoknya, hendaklah engkau mengambil seekor kambing jantan yang tidak bercacat, lalu mempersembahkannya sebagai korban untuk mengampunkan dosa. Sucikanlah mazbah itu dengan darah kambing jantan itu sebagaimana yang telah engkau lakukan dengan darah anak lembu jantan itu.
23 Kemudian ambillah seekor anak lembu jantan dan seekor domba jantan yang tidak ada cacat,
24 lalu bawalah kedua-duanya kepada-Ku. Imam-imam harus menaburkan garam ke atas kedua-dua binatang itu lalu mempersembahkannya sebagai korban untuk menyenangkan hati-Ku.
25 Tiap-tiap hari selama tujuh hari, hendaklah engkau mempersembahkan seekor kambing, seekor lembu jantan, dan seekor domba jantan sebagai korban untuk mengampunkan dosa. Semua binatang itu tidak boleh ada cacat.