7 Apabila aku sampai di sana, aku nampak banyak sekali pokok di kedua-dua tebing sungai itu.
8 Dia berkata kepadaku, “Air ini mengalir ke arah timur melalui negeri ini, lalu turun ke Lembah Sungai Yordan dan menuju ke Laut Mati. Apabila airnya sampai ke dalam Laut Mati, maka air laut yang masin itu digantikan dengan air tawar.
9 Ke mana sahaja air itu mengalir, di situ juga akan terdapat segala jenis binatang dan ikan. Air itu akan menjadikan air di Laut Mati tawar, dan ke mana sahaja air itu mengalir, di situ akan terdapat kehidupan.
10 Dari Mata Air En-Gedi sampai ke Mata Air En-Eglaim, akan ada banyak nelayan menjemur jala di pantainya. Di dalam air itu akan terdapat segala jenis ikan seperti yang ada di Laut Tengah.
11 Tetapi air di rawa dan di paya di sepanjang pantai itu tidak akan menjadi tawar, melainkan tetap menjadi sumber garam.
12 Di kedua-dua tebing sungai itu akan tumbuh berjenis-jenis pokok buah. Daun pokok-pokok itu tidak akan layu, dan pokok-pokok itu tidak akan berhenti berbuah. Setiap bulan pokok-pokok itu akan menghasilkan buah-buah yang baru, kerana pokok-pokok itu diairi oleh air yang mengalir dari Rumah TUHAN. Buah-buah itu menjadi makanan dan daun-daunnya digunakan sebagai ubat.”
13 TUHAN Raja berfirman, “Yang berikut ialah sempadan tanah yang akan dibahagikan kepada dua belas suku Israel. Suku Yusuf harus mendapat dua bahagian.