1 Kemudian aku mendengar Allah berseru, “Marilah, kamu yang akan menghukum kota ini. Bawalah senjata kamu.”
2 Segera enam orang lelaki datang dari sebelah luar pintu gerbang utara Rumah TUHAN, dan masing-masing membawa senjata. Mereka disertai oleh seorang yang berpakaian linen dan membawa alat untuk menulis. Mereka semua datang dan berdiri dekat mazbah gangsa.
3 Lalu cahaya yang berkilauan, yang menandakan hadirat Allah Israel, terangkat ke atas daripada kerub-kerub dan bergerak dari tempatnya lalu menuju ke pintu masuk Rumah TUHAN. TUHAN memanggil orang yang berpakaian linen itu, dan berfirman,
4 “Jelajahilah seluruh kota Yerusalem dan bubuhlah tanda pada dahi setiap orang yang sedih dan susah kerana segala perbuatan yang menjijikkan yang dilakukan di kota itu.”
5 Aku mendengar Allah berfirman kepada lelaki-lelaki yang lain, “Ikutlah dia ke seluruh kota dan bunuhlah setiap orang. Jangan lepaskan seorang pun. Jangan kasihani sesiapa pun.
6 Bunuhlah orang tua, teruna, dara, ibu, dan kanak-kanak. Tetapi jangan sentuh seorang pun yang mempunyai tanda pada dahi. Mulalah dari sini, dari Rumah-Ku.” Oleh itu mereka memulakan tugas dengan membunuh para pemimpin yang berdiri di Rumah TUHAN.