7 Sekarang bongkarlah perkhemahan kamu, dan pergilah ke kawasan perbukitan orang Amori dan ke seluruh daerah di sekitarnya: ke Lembah Yordan, ke kawasan perbukitan dan dataran rendah, ke daerah di bahagian selatan, dan ke pantai Laut Tengah. Pergilah ke tanah Kanaan dan ke Pergunungan Lebanon sampai ke Sungai Efrat, sungai yang besar itu.
8 Aku, TUHAN, sudah berjanji untuk memberikan seluruh tanah itu kepada nenek moyang kamu Abraham, Ishak, dan Yakub, serta keturunan mereka. Pergilah dan dudukilah tanah itu.’ ”
9 Musa berkata kepada umat itu, “Semasa kita di Gunung Sinai, aku berkata kepada kamu, ‘Tanggungjawab untuk memimpin kamu terlalu berat bagiku. Aku tidak sanggup melakukannya seorang diri.
10 TUHAN, Allah kamu sudah menjadikan kamu sebanyak bintang di langit.
11 Semoga TUHAN, Allah nenek moyang kamu, melipatgandakan jumlah kamu sampai seribu kali ganda, dan menjadikan kamu makmur seperti yang dijanjikan-Nya!
12 Tetapi bagaimana mungkin aku seorang dapat memikul tanggungjawab yang berat untuk menyelesaikan pertikaian kamu?
13 Pilihlah beberapa orang lelaki yang bijaksana, arif, dan berpengalaman daripada tiap-tiap suku, supaya aku melantik mereka menjadi pemimpin kamu.’