Ulangan 24 BM

Perceraian dan Perkahwinan Semula

1 “Andaikata seorang lelaki berkahwin dengan seorang perempuan, lalu dia mendapati sesuatu yang tidak disukainya pada isterinya. Oleh itu lelaki itu memberikan surat cerai kepadanya dan mengusir dia dari rumahnya.

2 Kemudian perempuan itu berkahwin lagi dengan seorang lelaki lain.

3 Tetapi selepas beberapa waktu, lelaki itu juga tidak menyukainya lagi. Kemudian lelaki itu memberikan surat cerai kepadanya dan mengusir dia dari rumahnya. Atau mungkin juga lelaki yang kedua itu meninggal.

4 Dalam kedua-dua hal itu, suami pertama perempuan itu tidak boleh berkahwin dengan dia lagi. Suami itu harus menganggapnya sebagai perempuan yang sudah dicemarkan. Jika lelaki itu berkahwin dengan perempuan itu lagi, perkara itu menjadi suatu penghinaan kepada TUHAN. Kamu tidak boleh melakukan dosa sedahsyat itu di tanah yang diberikan TUHAN, Allah kamu kepada kamu.”

Berbagai-bagai Peraturan

5 “Seorang lelaki yang baru sahaja berkahwin tidak boleh disuruh menjadi askar ataupun melakukan tugas wajib lain. Dia mesti diberikan kelepasan selama satu tahun supaya dia dapat mengurus rumah tangganya dan menyenangkan hati isterinya.

6 Apabila kamu meminjamkan sesuatu kepada seseorang, kamu tidak boleh mengambil batu kisarannya yang digunakan untuk mengisar gandum, sebagai jaminan. Dengan mengambilnya kamu merampas alat yang digunakan keluarganya untuk menyediakan makanan bagi penyambung hidup.

7 Sesiapa yang menculik sesama orang Israel, lalu menjadikan orang itu hambanya, atau menjual dia sebagai hamba, penculik itu mesti dihukum mati. Dengan demikian kamu akan membasmi kejahatan itu.

8 Apabila kamu menghidap penyakit kulit yang mengerikan, lakukanlah dengan teliti apa yang diperintahkan imam suku Lewi kepada kamu. Turutilah petunjuk-petunjuk yang sudah aku berikan kepada mereka.

9 Ingatlah apa yang telah dilakukan TUHAN, Allah kamu kepada Miryam dalam perjalanan kamu dari Mesir.

10 Apabila kamu meminjamkan sesuatu kepada seseorang, jangan masuk ke dalam rumahnya untuk mengambil pakaian yang hendak diberikannya kepada kamu sebagai jaminan.

11 Tunggulah di luar; biarlah orang itu sendiri membawanya kepada kamu.

12 Jika orang itu miskin, jangan simpan pakaian itu sehingga keesokan hari.

13 Kembalikanlah pakaian itu kepadanya setiap malam supaya dia dapat memakainya untuk tidur. Dengan demikian, orang itu akan berterima kasih kepada kamu, dan TUHAN, Allah kamu akan berkenan kepada kamu.

14 Jangan tipu orang upahan yang miskin dan berkekurangan, baik dia sesama orang Israel mahupun orang asing yang tinggal di salah sebuah kota kamu.

15 Tiap-tiap hari sebelum matahari terbenam, bayarlah upahnya untuk hari itu. Dia memerlukan upah itu dan berharap menerimanya. Jika kamu tidak memberi dia upah, dia akan mengadu kepada TUHAN tentang kamu, dan kamu akan dinyatakan berdosa.

16 Ibu bapa tidak boleh dihukum mati kerana jenayah yang dilakukan oleh anak mereka, dan anak juga tidak boleh dihukum mati kerana jenayah yang dilakukan oleh ibu bapa mereka. Tiap-tiap orang hanya boleh dihukum mati kerana jenayah yang dilakukannya sendiri.

17 Jangan rampas hak orang asing dan anak yatim piatu. Jangan ambil pakaian seorang balu sebagai jaminan hutangnya.

18 Ingatlah, kamu pernah menjadi hamba di Mesir dan TUHAN, Allah kamu telah membebaskan kamu. Itulah sebabnya aku memberikan peraturan ini kepada kamu.

19 Apabila kamu mengumpul hasil tuaian kamu, lalu terlupa membawa seberkas gandum, jangan balik untuk mengambilnya. Biarlah gandum itu ditinggalkan untuk orang asing, anak yatim piatu, dan balu, supaya TUHAN, Allah kamu memberkati segala usaha kamu.

20 Setelah kamu satu kali memetik buah zaitun kamu, jangan balik untuk memetik buah yang tertinggal. Buah-buah itu untuk orang asing, anak yatim piatu, dan balu.

21 Setelah kamu satu kali memetik buah anggur kamu, jangan balik untuk memetik buah yang tertinggal. Buah-buah itu untuk orang asing, anak yatim piatu, dan balu.

22 Jangan sekali-kali lupa bahawa kamu pernah menjadi hamba di Mesir. Itulah sebabnya aku memberikan kamu peraturan itu.