Ulangan 20 BM

Peraturan tentang Peperangan

1 “Apabila kamu keluar untuk berperang melawan musuh kamu, jangan takut ketika kamu nampak bilangan kereta kuda, kuda, dan askar musuh lebih besar daripada yang kamu punya. TUHAN, Allah kamu yang sudah menyelamatkan kamu dari Mesir akan menyertai kamu.

2 Sebelum kamu mula berperang, seorang imam harus maju dan berkata kepada pasukan tentera,

3 ‘Dengarlah, hai orang Israel! Hari ini kamu akan berperang. Jangan takut akan musuh, jangan hilang semangat, dan jangan cemas.

4 TUHAN, Allah kamu akan menyertai kamu; Dia akan memberikan kemenangan kepada kamu.’

5 Kemudian para pegawai tentera akan berkata kepada pasukan itu, ‘Adakah sesiapa di sini yang baru membina rumah dan belum mengadakan upacara perasmiannya? Jika ada, biarlah dia pulang. Jika tidak, mungkin dia terbunuh di medan peperangan lalu orang lain akan menduduki rumahnya.

6 Adakah sesiapa di sini yang baru mengusahakan ladang anggur dan belum pernah memetik buahnya? Jika ada, biarlah dia pulang. Jika tidak, mungkin dia terbunuh di medan peperangan lalu orang lain akan menikmati hasil ladang anggur itu.

7 Adakah sesiapa di sini yang sudah bertunang untuk berkahwin? Jika ada, biarlah dia pulang. Jika tidak, mungkin dia terbunuh di medan peperangan lalu orang lain akan berkahwin dengan tunangnya.’

8 Biarlah para pegawai tentera berkata juga kepada mereka, ‘Adakah sesiapa di sini yang takut dan hilang semangat? Jika ada, biarlah dia pulang. Jika tidak, dia akan menyebabkan orang lain hilang semangat.’

9 Selepas para pegawai tentera berucap, pemimpin bagi setiap unit mesti dilantik.

10 Apabila kamu menyerang sebuah kota, terlebih dahulu berilah penduduk kota itu peluang untuk menyerah diri.

11 Jika mereka membuka pintu gerbang dan menyerah diri, mereka akan menjadi hamba kamu dan melakukan kerja paksa.

12 Tetapi jika penduduk kota itu tidak mahu menyerah diri, dan lebih suka melawan kamu, kelilingilah kota itu dengan tentera kamu.

13 Kemudian, apabila TUHAN, Allah kamu membolehkan kamu merebut kota itu, bunuhlah tiap-tiap orang lelaki di situ.

14 Kamu boleh mengambil kaum wanita, anak-anak, ternakan, dan semua yang ada di dalam kota itu. Kamu boleh menggunakan semua harta musuh kamu. TUHAN sudah memberikan semuanya kepada kamu.

15 Demikianlah harus kamu perlakukan kota-kota yang jauh dari tanah yang akan kamu duduki.

16 Tetapi apabila kamu merebut kota-kota di negeri yang diberikan oleh TUHAN, Allah kamu kepada kamu, bunuhlah semua orang di situ.

17 Punahkanlah semua bangsa di negeri itu: orang Het, Amori, Kanaan, Feris, Hewi, dan Yebusi, sebagaimana kamu diperintahkan oleh TUHAN, Allah kamu.

18 Bunuhlah mereka, supaya mereka tidak menyebabkan kamu berdosa terhadap TUHAN, Allah kamu, dengan mengajar kamu melakukan perkara jijik yang dilakukan mereka apabila menyembah tuhan-tuhan mereka.

19 Apabila kamu cuba merebut sebuah kota, jangan tebang pokok buah-buahan di situ meskipun kamu mengepung kota itu untuk waktu yang lama. Makanlah buahnya, tetapi jangan musnahkan pokok-pokok itu. Pokok itu bukan musuh kamu.

20 Kamu boleh menebang pokok-pokok lain dan menggunakannya untuk mengepung kota, sehingga kota itu direbut.”